Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imam tak mengaku terima rasuah bantu daftar pasangan kahwin di Thailand

Jan 15, 2025 | 2:24 PM
Imam masjid di Kangar, Mohd Isa Abdul Karim (memakai pelitup), hadapi tujuh tuduhan terima suapan proses daftar pasangan kahwin di Thailand.
Imam masjid di Kangar, Mohd Isa Abdul Karim (memakai pelitup), hadapi tujuh tuduhan terima suapan proses daftar pasangan kahwin di Thailand. - Foto BHM ONLINE

KANGAR (Perlis): Seorang imam masjid dalam daerah Kangar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Malaysia pada 15 Januari atas tujuh tuduhan menerima suapan RM26,300 ($7,984) sebagai upah menguruskan pendaftaran dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) oleh pasangan yang bernikah di Thailand sejak 2022.

Tertuduh, Mohd Isa Abdul Karim, 53 tahun, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas kesemua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Berdasarkan kesemua tuduhan, Mohd Isa didakwa sebagai ejen yang menerima suapan wang berjumlah RM26,300 menerusi akaun milik ABM Success Empire sebagai upah memproses Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) kepada tujuh pasangan yang tidak mematuhi prosedur.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara 5 Disember 2022 dengan 24 Oktober 2023 di sebuah bank di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama, lapor Berita Harian Malaysia.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Datuk Nu’aman membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 tetapi mengarahkannya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Perlis setiap bulan.

Pada 13 Jun 2024, media melaporkan seorang pegawai kanan JAIPs dan imam sebuah masjid di Kangar ditahan SPRM Perlis pada 5 Jun 2024 bagi membantu siasatan kes penerimaan suapan berjumlah RM1.183 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di negeri itu sejak April 2022 hingga Jun 2023.

Selain kededua suspek, seorang lagi individu turut ditahan ialah anak imam masjid terbabit yang merupakan pemilik syarikat perunding dalam urusan pernikahan di Perlis.

Hasil siasatan SPRM mendapati setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahan itu di negara ini, dipercayai akan berhubung dengan syarikat berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg