Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imigresen M’sia kenakan kompaun RM43j kepada 2,368 majikan

Jul 9, 2025 | 1:51 PM
Malaysia, Imigresen Malaysia, kompaun, pendatang asing tanpa izin, Pati
Jabatan Imigresen Malaysia agresif dalam menangani lambakan pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara itu. - Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA: Walaupun berdepan risiko didakwa di mahkamah dan dikenakan kompaun, namun ‘majikan degil’ di Malaysia tetap menggajikan pekerja pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sanggup bekerja dengan gaji lebih rendah.

Malah, terdapat majikan yang disenarai hitam turut menggunakan ejen haram bagi membekalkan pekerja asing dengan bayaran RM8,000 ($2,410) setiap seorang.

Bagi tempoh tiga tahun sejak 2023, terdapat seramai 2,368 majikan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana mengambil Pati sebagai pekerja dengan kompaun lebih RM43.1 juta dan 1,034 majikan didakwa di mahkamah.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban, berkata bagi tempoh 2023 hingga 2025, seramai 2,368 majikan sudah dikenakan tindakan penguatkuasaan JIM di seluruh Malaysia dengan jumlah kompaun berjumlah RM43.1 juta.

Menurutnya, seramai 605 majikan ditahan pada 2023 dengan kompaun RM10.6 juta dan 386 majikan didakwa di mahkamah, manakala seramai 1,123 majikan ditahan dengan kompaun RM19.6 juta dan 462 majikan didakwa pada 2024.

“Untuk tahun ini (2025), seramai 640 majikan ditahan membabitkan kompaun RM12.8 juta dan 186 sudah didakwa di mahkamah.

“Terdapat beberapa modus operandi sindiket yang menggajikan pekerja warga asing secara haram untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya lapor Harian Metro.

Datuk Zakaria berkata antara modus operandi yang digunakan sindiket untuk membawa masuk Pati adalah menggunakan ejen haram dan menyediakan dokumen palsu atau tidak sah.

“Sebagai contoh, dalam satu operasi khas oleh JIM, enam individu ditahan dan sejumlah 394 pasport Bangladesh, enam pasport Indonesia, dua pasport India, sembilan pasport Pakistan dan satu pasport Filipina dirampas.

“Ejen haram ini membekalkan pekerja asing kepada majikan yang disenarai hitam dengan bayaran RM8,000 setiap seorang.

“Beberapa sindiket mengeksploitasi program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan kuota pekerja asing yang diluluskan untuk membekalkan tenaga kerja kepada majikan yang disenarai hitam dengan mengenakan bayaran tinggi untuk perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata sindiket menggunakan premis tertentu sebagai rumah transit untuk menyembunyikan pekerja asing sebelum dibekal kepada majikan.

“Dalam satu kes, lima wanita warga India disembunyikan di dalam tandas sebuah premis bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Mereka dipercayai tinggal di rumah terbabit selama hampir tiga minggu sementara menunggu dibekalkan kepada majikan baru,” katanya.

Menurutnya, selain membekalkan pekerja asing, sindiket menawarkan perkhidmatan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan kadar bayaran antara RM4,000 hingga RM6,000 setahun bagi setiap pekerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg