PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan satu siasatan khas berhubung kes seorang wanita warga Singapura yang mendakwa ditahan tujuh hari selepas terlibat dalam perselisihan dengan seorang Pegawai Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata siasatan khas yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen itu bermula pada 6 September.
Menurutnya, ia bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk apakah kesalahan dilakukan wanita terbabit dan adakah pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk mematuhi proses serta peraturan yang ditetapkan.
“Kita akan lihat semua sudut untuk pastikan siasatan memberi keadilan kepada semua pihak.
“JIM pada masa sama mengalu-alukan pelawat asing datang ke Malaysia dan mereka yang masuk ke Malaysia perlu patuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan ini,” katanya, lapor Sinar Harian.
Tambah Datuk Ruslin, buat masa ini JIM tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak dan beliau berjanji akan menyelesaikan kes terbabit dalam masa terdekat.
“Saya berjanji perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin supaya memberi gambaran jelas. Saya tidak mahu satu insiden ini memberi imej tidak baik kepada negara,” ujarnya.
Pada 8 September, Utusan Malaysia memetik sebuah portal di Singapura yang melaporkan mengenai wanita dikenali sebagai Cik Atalia Chua, 36 tahun, telah ditahan selama tujuh hari oleh JIM ketika berkunjung ke Malaysia pada 8.40 pagi, 7 Ogos.
Ia susulan wanita itu dikatakan terlibat dalam satu perselisihan dengan seorang pegawai di Kompleks CIQ, BSI.
Dilaporkan, cubaan wanita itu untuk mengimbas pengesan biometrik sebanyak dua kali gagal, sebelum menuju ke kaunter untuk mendapatkan perkhidmatan lanjut.
Namun, beliau mendakwa pegawai yang bertugas di kaunter berkenaan bertindak agresif dan turut memaklumkan kaunter tersebut telah ditutup.
Wanita itu kemudian pergi ke kaunter berlainan, sebelum pegawai di kaunter itu turut meninggikan suara terhadapnya menggunakan bahasa campuran Melayu dan Inggeris.
Beliau kemudian dikatakan bertindak merakam video kejadian, sebelum ditahan dan diminta untuk memadamkan rakaman tersebut untuk dilepaskan.
Bagaimanapun, setelah memadam video tersebut, wanita itu tetap ditahan selama tujuh hari, selain turut diminta menandatangani satu borang bertulis dalam bahasa Melayu namun beliau enggan.
Anggota keluarga wanita itu kemudian mendapatkan maklumat tentang kejadian tersebut dan membuat aduan kepada Kementerian Ehwal Luar Singapura.
Wanita itu kemudian dilepaskan pada 4 petang 13 Ogos, selepas menandatangani satu dokumen dikeluarkan Jabatan Imigresen yang memberikan amaran keras terhadap wanita berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat dilaporkan mengesahkan pihaknya menerima laporan tentang kejadian tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg