JOHOR BAHRU: Pengembara Malaysia yang tiba dan berlepas dari Singapura dengan menaiki motosikal melalui dua pusat pemeriksaan imigresen telah menggunakan kod respons pantas (QR) menggantikan pasport untuk pelepasan yang lebih cepat dan mudah sejak 15 Ogos.
Walaupun segelintir penunggang motosikal berasa masa menunggu adalah hampir sama dengan hari mereka terpaksa menunjukkan pasport, penunggang motosikal yang mengembara dengan pembonceng mengakui penggunaan kod QR lebih pantas kerana mereka hanya perlu mengimbas satu kod QR.
Seorang penunggang motosikal Malaysia yang hanya dikenali sebagai Encik Chan berkata sistem kod QR membenarkan butiran dua orang yang didaftarkan pada satu telefon bimbit, dengan hanya perlu melakukan satu imbasan kod QR.
“Dulu, jika dua orang dalam perjalanan (dengan motosikal), kita perlu mengimbas dua pasport, sekarang hanya guna satu kod QR, jadi ini pasti lebih pantas,” katanya, lapor The Star.
Seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ismail berkata penunggang solo masih meraih manfaat, dengan masa sedikit lebih singkat kerana pasport digantikan dengan kod QR.
“Selepas palang dibuka, kami masih perlu mengimbas cap ibu jari kami dan memasukkan kad Autopass (kad nilai tersimpan untuk semua kenderaan berdaftar asing untuk membayar semua yuran dan tol di Singapura) ke alat pengimbas,” katanya.
Beliau berharap Singapura juga akan melaksanakan pengecaman muka untuk penunggang motosikal seperti yang dicuba oleh Malaysia di pusat pemeriksaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Terdahulu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura berkata penunggang dan pembonceng motosikal dan basikal yang menuju ke Malaysia boleh menggunakan kod QR untuk melepasi imigresen di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas mulai 15 Ogos.
Berita Harian (BH) melaporkan penunggang dan pembonceng motosikal hanya perlu menunjukkan satu kod QR secara kumpulan untuk pelepasan imigresen dan tidak perlu mengimbas dua pasport.
Langkah itu adalah sebahagian daya usaha ICA untuk memudahkan pelepasan imigresen tanpa pasport bagi pelancong.
Mereka yang melancong ke Malaysia dengan menaiki kereta telah menggunakan pelepasan kod QR sejak 19 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg