Para pengguna wadah media sosial Facebook dinasihatkan agar berwaspada dek akaun palsu yang menyamar sebagai Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen.
Muis berkata ia telah dimaklumkan mengenai akaun palsu itu yang mungkin cuba mendapatkan wang, meminta maklumat peribadi serta melakukan kegiatan penipuan lain.
Contoh yang ditunjukkan Muis dalam hantaran tersebut, akaun palsu itu tidak mengandungi sebarang maklumat mengenai Encik Kadir.
Sebaliknya, akaun rasmi Facebook milik Encik Kadir mengandungi butiran tentang beliau seperti tarikh akaun itu ditubuhkan, disenaraikan di bawah kategori “Perkhidmatan awam dan pemerintah”, serta menyediakan pautan ke laman web Muis.
Ketika Berita Harian membuat carian pada 3 Oktober, akaun palsu tersebut masih dapat ditemui di Facebook.
Muis menegaskan bahawa pegawainya tidak akan sekali-kali meminta wang atau butiran peribadi melalui media sosial.
“Jika anda menemui akaun yang mencurigakan, jangan balas atau berkongsi maklumat anda. Laporkan akaun palsu itu terus kepada Facebook dan sekat akaun tersebut bagi menghalang sebarang interaksi lanjut.
“Sentiasalah berwaspada. Jika ragu-ragu, dapatkan pengesahan terus daripada Muis melalui saluran rasmi kami,” kata Muis.
Bagi sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi talian Muis di 6359 1199, dari Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Talian ditutup pada Jumaat antara 12.30 tengah hari dengan 2.30 petang, serta pada hujung minggu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg