JOHOR BAHRU: Pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijadual dilancarkan secara rasmi pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-13 pada 4 hingga 5 Disember 2026, kata Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sebagai persediaan, mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama (JSCMC) akan diadakan di Singapura pada 2 November bagi meneruskan fasa pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Menurut beliau, setakat Oktober 2025, JS-SEZ telah merekodkan komitmen pelaburan melebihi $5.5 bilion (RM17.97 bilion) daripada syarikat yang berpangkalan di Singapura.

Beliau menyifatkan komitmen itu sebagai petanda keyakinan kukuh terhadap iklim ekonomi Malaysia, dengan tumpuan kini diberikan kepada pelaksanaan serta manfaatnya kepada masyarakat.

“Sudah pasti selaku Kementerian yang bertanggungjawab terhadap inisiatif JS-SEZ, matlamatnya juga adalah untuk memastikan limpahan inisiatif ini dirasai oleh orang Johor dan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Oktober.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan serta Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Encik Gan Kim Yong, di pejabatnya di Kementerian Ekonomi.

Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kanan), menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan serta Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Encik Gan Kim Yong, di pejabatnya di Kementerian Ekonomi, Putrajaya.
Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kanan), menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan serta Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Encik Gan Kim Yong, di pejabatnya di Kementerian Ekonomi, Putrajaya. - Foto FACEBOOK KEMENTERIAN EKONOMI

Encik Akmal Nasrullah berkata pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha mempergiat kerjasama ekonomi Malaysia-Singapura, khususnya kelancaran pelaksanaan JS-SEZ dan inisiatif pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) rentas sempadan.

Bagi kerjasama CCS, kedua-dua negara menyasarkan untuk memeterai perjanjian dua hala pada suku keempat 2026.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai usaha strategik ke arah membangunkan rantaian nilai hijau serantau.

Menurutnya, hubungan ekonomi yang erat antara kedua-dua negara perlu menghasilkan manfaat nyata kepada masyarakat, termasuk pekerjaan berkualiti dan pembangunan kemahiran.

“Bagi saya, kerjasama erat yang kita bina ini bukan sekadar angka pelaburan di atas kertas.

“Matlamat akhirnya adalah untuk menterjemahkan hubungan ini kepada penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti, peningkatan kemahiran, dan pertumbuhan ekonomi yang mampan demi manfaat rakyat,” katanya.

Terdahulu, pelancaran pelan induk dan pelan tindakan JS-SEZ yang dijadualkan pada 30 Mac 2026 di Johor Bahru, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 17 Mac.