KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menawarkan pakej insentif cukai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor dengan mengambil kira keperluan dinamik pelabur global dan domestik.
Pakej insentif cukai yang boleh dimohon mulai 1 Januari membabitkan kadar cukai korporat istimewa 5 peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun, insentif tambahan bagi operasi di kawasan utama JS-SEZ dan kadar cukai istimewa untuk pekerja berkemahiran sebanyak 15 peratus bagi tempoh 10 tahun.
Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan bersama pada 8 Januari menyatakan pakej insentif JS-SEZ sebagai ikhtiar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.
“Menerusi pakej insentif ini, syarikat yang membuat pelaburan baru dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang layak seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum, peralatan perubatan, aeroangkasa serta perkhidmatan hab global, berpeluang menikmati kadar cukai istimewa 5.0 peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun.
“Selain itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan, yang mana insentif tambahan diperuntukkan untuk perniagaan yang beroperasi di kawasan utama yang telah ditentukan di JS-SEZ.
“Kadar cukai istimewa untuk pekerja berkemahiran juga ditawarkan sebanyak 15 peratus, bagi tempoh 10 tahun bagi yang layak di JS-SEZ,” menurut kenyataan bersama itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pula berkata pakej insentif JS-SEZ memberikan rangsangan untuk meningkatkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan global.
Selain pakej insentif cukai, Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan Johor bersetuju untuk memperkenalkan duti hiburan pada kadar lebih rendah bermula 1 Januari 2025.
“Dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki negeri ini, JS-SEZ akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab perdagangan dan maritim utama di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pakej insentif cukai JS-SEZ mencerminkan komitmen kerajaan Malaysia untuk mewujudkan hubungan manfaat bersama yang akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg