Kebakaran dan kemusnahan harta benda akibat letupan paip bekalan gas di Putra Heights, Selangor, baru-baru ini telah meninggalkan kesan mendalam, sekali gus menimbulkan pelbagai iktibar dan persoalan.
Platform media sosial kini dihujani dengan teks dan video yang perlu diberi perhatian serius.
Sebahagian daripadanya mampu membantu dalam siasatan serta memperbaiki langkah keselamatan sedia ada.
Namun, lebih penting adalah memastikan satu tindakan sistematik dan telus dilaksanakan untuk menguruskan kes pasca letupan ini, yang bebas daripada sebarang kepentingan tertentu dan paling penting, berintegriti.
Satu daripadanya adalah proses membaik pulih paip yang harus dilakukan dengan penuh ketelitian meskipun ada tekanan, kerana terdapat lebih 200 syarikat atau pelanggan yang terjejas operasi mereka akibat kejadian ini.
Walaupun demikian, kerja baik pulih perlu mengikut spesifikasi, piawaian dan prosedur operasi standard (SOP) perusahaan serta ciri keselamatan, demi kepentingan semua pihak.
Mangsa bencana ini iaitu rakyat, perusahaan serta pihak berkepentingan pada peringkat serantau dan antarabangsa tentunya menantikan kaedah siasatan yang akan dijalankan.
Insiden ini bukan sahaja serius, tetapi sangat berkait rapat dengan kebolehpercayaan sistem tadbir urus pihak terbabit.
Oleh itu, amat penting untuk memastikan hasil keputusan siasatan itu kelak dapat diterima semua pihak sebagai hasil kerja yang profesional dan berintegriti.
Letupan paip gas di Putra Heights harus diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi, walaupun kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mencari punca sebenar kejadian ini.
Namun, jelas insiden ini telah memberi kesan negatif kepada banyak pihak dan berpotensi menjejaskan banyak perkara.
Oleh itu, siasatan perlu dilakukan dengan penuh ketelusan tanpa ada ruang untuk sebarang keraguan mengenai cara dan hasilnya.
Pada masa sama, mereka yang bertanggungjawab harus dikenakan hukuman setimpal bagi memastikan tiada pihak boleh lari daripada tanggungjawab.
Kebakaran paip gas ini pasti ada punca yang perlu disiasat.
Kami mencadangkan supaya siasatan ini tidak hanya dilihat sebagai satu proses pendakwaan.
Sebaliknya, hasil siasatan perlu digunakan untuk merumuskan analisis dan set penyelesaian terbaik, termasuk menambah baik isu teknikal dan pencegahan supaya perkara yang sama dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan.
Siasatan ini seharusnya dijadikan satu testimoni dan iktibar sama ada untuk penggiat perusahaan, mahupun sektor perundangan, termasuk penggubalan prosedur baru pada masa akan datang.
Selain itu, pengurusan pasca letupan yang membabitkan mangsa juga sangat kritikal.
Perlu ada pihak yang tampil untuk mengurus dan memastikan hak penduduk terjejas dikembalikan.
Apakah hak dan tuntutan mereka perlu dibatasi dengan syarat seperti memiliki insurans?
Jangan lupa nasib penduduk kampung berhampiran yang turut terjejas.
Penting untuk ada pihak memastikan pampasan dan ganti rugi yang akan diberikan kepada mangsa setimpal dan adil.
Selanjutnya, jika ada penduduk berasa tidak lagi selamat untuk tinggal di kediaman mereka kerana trauma akibat kejadian itu, apakah mereka berhak menuntut untuk dipindahkan?
Jika tuntutan ini tidak dapat dipenuhi, bagaimana kita dapat meyakinkan mereka bahawa keselamatan mereka akan terjamin pada masa depan?
Isu keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran jajaran paip gas yang terjejas ini adalah antara perkara penting diberi perhatian.
Sejauh manakah jaminan keselamatan mereka?
Mungkin perlu ada kajian semula mengenai jarak penampan sedia ada.
Berdasarkan impak letupan itu, ada kemungkinan perlu ada penguatkuasaan zon penampan yang lebih realistik, bukan hanya di kawasan penempatan, tetapi juga di sepanjang jajaran gas Semenanjung Malaysia.
Pemeriksaan lokasi kejadian untuk menilai impak serta kemusnahan yang berlaku juga amat penting sebagai panduan dan perancangan projek paip gas akan datang.
Sebagai kawasan berisiko tinggi, satu set kawalan dan jaminan keselamatan lebih ketat perlu diwujudkan untuk melindungi saluran paip gas nasional ini.
Oleh itu, pihak yang terbabit perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sepanjang jajaran paip gas untuk mengesan sebarang kegiatan berisiko seperti laluan kenderaan, kegiatan pertanian atau pencerobohan.
Kerajaan juga perlu menyemak semula kegiatan yang perlu dilarang berhampiran jajaran paip gas.
Justeru, satu audit dan analisis forensik yang menyeluruh berdasarkan input daripada semua pihak perlu dilakukan.
Audit ini bukan sekadar mencari punca ketirisan dan kelemahan, tetapi juga memperkasakan SOP serta mengemukakan langkah penambahbaikan melalui pendekatan lebih sistematik.
Ini bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan sekitar jajaran paip gas serta pencegahan bencana terselaras pada masa depan.
Bagi jangka masa panjang, pemilik operator saluran paip dan pihak berkuasa perlu berganding bahu melaksanakan pemantauan berkala.
Teknologi canggih termasuk penggunaan dron boleh dimanfaatkan bagi pemantauan ini, terutama di kawasan yang sukar dicapai.
Strategi jangka panjang juga perlu dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama antara pihak berkuasa, syarikat gas dan masyarakat setempat yang berperanan sebagai mata dan telinga untuk keselamatan kawasan berkenaan.
Pagar sepanjang jajaran serta pos kawalan pada setiap jarak yang munasabah juga boleh dibina untuk memantau kegiatan keluar masuk zon berkenaan.
Syarikat pemilik paip gas pula seharusnya mempunyai sistem pengesanan kebocoran, namun mungkin perlu ditambah dengan sistem pengesanan pencerobohan kawasan bagi kegiatan yang tidak dibenarkan.
Kita harus mengkaji semula pelan tindak balas kecemasan yang ada untuk memastikan keberkesanannya.
Ini membabitkan pelan pemulihan bencana, sistem pembendungan dan penutupan serta pasukan tindak balas bahan berbahaya.
Pihak terbabit juga perlu mengambil kira faktor bencana alam seperti gempa bumi, hakisan tanah, banjir dan kebakaran.
Mengambil perkara positif daripada kejadian ini, semua pihak harus membuat semakan semula terhadap sistem, prosedur, etika, piawaian dan integriti yang ada.
Melindungi jajaran paip gas nasional kini memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, yang menggabungkan penyelesaian manusia dan teknologi, langkah keselamatan fizikal serta pelan kecemasan.
Tindakan susulan yang perlu selepas kejadian di Putra Heights adalah semakan dan pemantapan prosedur, peraturan serta akta berkaitan, demi menjaga kebolehpercayaan tadbir urus serta melindungi keselamatan orang ramai, termasuk perusahaan.
Penulis adalah Pengasas Gagasan Profesional Melayu Malaysia. Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg