Nilai kerugian dialami pemilik kediaman yang terjejas dalam tragedi letupan dan kebakaran besar saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada Syawal kedua, 1 April, dianggarkan mencecah RM65.4 juta ($19.83 juta).
Anggaran awal nilai kerugian itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berdasarkan hasil penilaian awal dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat terhadap sejumlah 437 rumah yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian malang itu.
Menurut Datuk Amirudin, hasil pemeriksaan itu mendapati 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus; 81 rumah sebahagiannya musnah; 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah lagi tidak terjejas.
Dengan itu katanya bantuan tunai berjumlah RM10,000 akan disalurkan kepada mangsa yang kediaman mereka musnah sepenuhnya, dengan masing-masing RM5,000 sumbangan Petronas dan RM5,000 lagi daripada kerajaan negeri Selangor.
“Sementara itu rumah yang terkesan dan juga penyewa pula akan menerima bantuan tunai RM2,500 daripada Petronas dan RM2,500 daripada kerajaan Persekutuan, menjadikan jumlah keseluruhan RM5,000,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan Selangor bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga sedang meneliti prosedur sesuai untuk bantuan membina dan memulihkan rumah yang terjejas.
Kejadian mengejutkan pada pagi 2 Syawal itu menyebabkan lebih 500 penduduk yang tinggal berhampiran kawasan letupan dan kebakaran paip gas itu terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) atas faktor keselamatan.
Namun, setakat 7 April, sebanyak 151 rumah disahkan selamat dan pemiliknya telah dibenarkan pulang, dengan kemungkinan ada kerosakan kecil yang perlu dibaiki.
Sebahagian murid yang memulakan sesi persekolahan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri sejak 29 Mac, kembali ke sekolah dari PPS pada 7 April, dengan bantuan pelbagai pihak.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan berlaku unsur kecuaian atas aspek jenayah dalam kejadian letupan dan kebakaran besar itu.
“Pelbagai faktor boleh menjadi punca kepada kejadian tersebut dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan pasukan penyiasat.
“Buat masa ini, siasatan turut menjurus kepada unsur jenayah dan kecuaian. Kecuaian ini meliputi banyak aspek, kemungkinan disebabkan faktor manusia.
“Selain itu, kemungkinan berlaku pergerakan tanah di bawah permukaan, tekanan tinggi daripada aliran air dan pelbagai faktor lain turut boleh menjadi punca. Semua ini menjadi aspek siasatan kita,” katanya, yang meninjau kawasan kejadian pada 7 April.
Dalam pada itu Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan memaklumkan bekalan gas di Semenanjung Malaysia terganggu di beberapa kawasan di zon tengah, iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar (Selangor) serta beberapa kawasan di zon utara.
Namun, bekalan masih terkawal dalam jumlah terhad dan keadaan itu dijangka berlarutan sehingga 20 April.
Bencana tidak diduga yang menimpa mangsa kejadian letupan dan kebakaran itu mendapat simpati banyak pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang turun ke kawasan kejadian dan menyantuni mangsa pada 5 April.
Sultan Ibrahim turut menghulurkan bantuan peribadi RM1,000 kepada setiap 308 keluarga terjejas.
Biduanita Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan beberapa selebriti lain turut berganding bahu menghulur bantuan bagi meringankan bebanan mangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg