JOHOR BAHRU: Mutu udara di Pasir Gudang dan Segamat merosot ke paras tidak sihat pada petang 4 September, dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) masing-masing mencatatkan 128 dan 115.

Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kedua-dua kawasan itu adalah lokasi di Johor yang berada dalam kategori tidak sihat ketika semakan dibuat.

Bacaan IPU antara 101 dengan 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.

Pada tahap tersebut, orang ramai terutama kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan atau jantung disaran mengurangkan kegiatan di luar.

Sekolah di kawasan terjejas juga perlu menangguhkan kegiatan luar bilik darjah, termasuk sukan, kokurikulum dan perhimpunan, apabila bacaan IPU melebihi 100.

Keadaan mutu udara lebih buruk dilaporkan di Sarawak apabila stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian mencatatkan IPU 521, manakala Kuching merekodkan bacaan 311.

Kedua-dua bacaan itu berada pada paras berbahaya kerana melebihi 300.

Samarahan dan Sri Aman pula mencatatkan mutu udara sangat tidak sihat dengan bacaan masing-masing 284 dan 235.

Beberapa kawasan lain di Sarawak turut berada pada paras tidak sihat, termasuk Sarikei dengan bacaan 182, Sibu 181, Mukah 177, Bintulu 157, Samalaju 146 dan Institut Latihan Perindustrian Miri 122.

Di Sabah, bacaan tidak sihat direkodkan di Politeknik Kota Kinabalu pada 152, Tawau 151 dan Sandakan 140.

Secara keseluruhan, paparan APIMS menunjukkan dua kawasan berada pada paras berbahaya, dua pada paras sangat tidak sihat dan 11 pada paras tidak sihat.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan kegiatan di luar, memakai pelitup muka yang sesuai dan minum air secukupnya sekiranya mutu udara terus merosot.

Mereka yang mengalami batuk, sesak nafas, sakit dada atau rasa tidak sihat perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan.

Bacaan IPU boleh berubah mengikut keadaan cuaca, arah tiupan angin dan punca pencemaran.

Orang ramai disaran mendapatkan perkembangan terkini menerusi laman rasmi APIMS (https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main) dan mematuhi arahan pihak berkuasa.