PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi 14 Mac bagi menyambung proses beri keterangan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.
Beliau tiba di pejabat SPRM pada 8.46 pagi menaiki kenderaan jenis Audi berwarna hitam diiringi kenderaan peronda polis.
Ahli Parlimen Bera (Pahang) itu sempat melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu sejak 8 pagi bagi membuat liputan berkenaan kes dihadapi beliau, lapor Harian Metro.
Pada 13 Mac, Datuk Ismail Sabri hadir bagi memberi keterangan dan tiba di pejabat SPRM pada 9.45 pagi dan meninggalkan pejabat SPRM pada 3.13 petang, selepas lima jam memberi keterangan kepada pegawai SPRM.
Dalam satu kenyataan media ringkas, beliau menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai.
“Hari ini (13 Mac), saya telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan.
“Saya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan itu, lapor Malaysiakini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Rakaman percakapan beliau sepatutnya diambil pada 7 Mac lepas, namun ditangguhkan ke 13 Mac atas faktor kesihatan.
Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata Datuk Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta ($51 juta) di dalam sebuah safe house dalam satu serbuan.
Wang tunai itu dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Franc Swiss dan Yuan manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg