Siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana kerajaan RM700 juta ($212 juta) yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setakat ini telah membawa kepada sitaan 13 akaun dengan simpanan berjumlah RM9.33 juta.
Difahamkan, sejumlah akaun terbabit disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak empat pegawai kanan Datuk Ismail Sabri ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama 14 bulan – ditahan reman bermula 21 Februari lalu.
Setakat ini usaha SPRM untuk merakam keterangan lanjut Datuk Ismail Sabri yang awalnya dijadualkan pada 5 Mac lalu juga belum berhasil, berikutan ia terpaksa ditangguhkan dek masalah kesihatan Ahli Parlimen Bera (Pahang) itu.
Mantan Naib Presiden Umno itu kemudian dijadualkan memberi keterangan pada SPRM pada 7 Mac, namun mengemukakan cuti sakit yang sepatutnya berakhir 12 Mac.
Bagaimanapun, sehingga kini doktor yang merawat Datuk Ismail Sabri – yang turut disoal siasat SPRM pada 7 Mac lalu untuk mengetahui tahap kesihatan sebenar pemimpin itu – belum dapat memastikan status kesihatan terkini beliau, sama ada sihat untuk disoal siasat sebagaimana dijadualkan SPRM pada 12 Mac.
Terdahulu, Datuk Ismail Sabri dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya, lalu dikejarkan ke sebuah hospital swasta pada tengah malam 22 Februari lalu.
Insiden itu berlaku selepas bekas pegawai kanannya ditahan reman, yang membawa kepada penemuan pertama – wang tunai RM100 juta, dipercayai dana politik – dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di sebuah kediaman milik seorang daripada empat pegawainya itu.
Difahamkan, dalam tempoh siasatan kes berkenaan yang sudah berlangsung kira-kira tiga minggu sehingga 10 Mac, SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu.
SPRM dilaporkan sudah mengambil keterangan 32 saksi, selain empat bekas pegawai Datuk Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini.
Namun, siasatan akan terus berjalan dengan difahamkan suruhanjaya itu akan memanggil 23 lagi saksi baru dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.
Datuk Ismail Sabri sebelum ini disoal siasat SPRM sebagai saksi dalam kes membabitkan dirinya.
Namun kemudian beliau disiasat sebagai suspek berdasarkan bukti wang tunai yang ditemukan terkait dengannya, selain perintah untuk mengisytiharkan harta.
Ia selepas SPRM pada 3 Mac lalu mengesahkan penemuan dan rampasan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, selain 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggar bernilai hampir RM7 juta.
Aset itu dirampas daripada tiga premis, termasuk sebuah safehouse (rumah di lokasi rahsia untuk persembunyian) di Lembah Klang yang ada kaitan dengan Datuk Ismail Sabri dan empat bekas pegawainya itu.
Datuk Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Ketika pentadbirannya, Datuk Ismail Sabri memperkenalkan agenda nasional Keluarga Malaysia dan siasatan terhadapnya ketika ini dikaitkan dengan dana kerajaan RM700 juta yang dibelanjakan untuk publisiti serta kempen promosi dalam tempoh itu dan kerajaan terdahulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg