SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak pernah meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk membebaskannya daripada tuduhan kes yang dihadapinya di mahkamah.
Datuk Ismail Sabri, yang juga mantan perdana menteri, sebaliknya menjelaskan bahawa bekas Ahli Parlimen (AP) Pekan itu hanya mahu perbicaraan adil diberikan kepadanya.
“Ramai orang luar tidak tahu bahawa Najib (ketika) jumpa saya, (dia) tidak minta dibebaskan. Dia hormat kepada mahkamah,” katanya sewaktu menjadi tetamu Podcast Keluar Sekejap (KS) pada 28 Ogos.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi berkait tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta ($12.64 juta) milik SRC International Sdn Bhd (SRC) yang membabitkan Najib itu adalah di luar bidang kuasanya.
“Kalau mahkamah kita boleh masuk campur, bagaimana persepsi luar? Kononnya mahkamah kita boleh disusun, jadi tak ada siapa akan datang melabur di negara kita.
“Pelabur kalau ditipu ke mana mereka nak hadapkan (pesalah), sebab mahkamah Malaysia tidak boleh pakai. Kita bergantung kepada pelaburan asing secara langsung (FDI), kalau mahkamah dikawal oleh kerajaan tak ada siapa akan percaya kepada kita.
“Bagi saya dengan Najib, kita beri perbicaraan yang adil. Orang kata saya masukkan dia dalam penjara, tak betul itu... keputusan Mahkamah Tinggi yang menentukan.
“Fakta kes, kenyataan saksi semua orang dah baca, sukar untuk ganggu di mahkamah. Mereka bahkan minta tukar hakim dan peguam negara, jelas gambarkan Umno salah guna kuasa. Mereka tikam saya depan-depan,” kata Datuk Ismail Sabri, lapor Sinar Harian.
Pada masa yang sama, beliau mengakui sokongan Umno terhadap Najib sehingga kini masih kuat.
Menurut beliau, Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Azalina Othmah Said, disarankan mengambil tindakan untuk mendapatkan pengampunan penuh terhadap Najib daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Saya harap adalah kalangan daripada kita (Umno) menghadap Yang di-Pertuan Agong minta supaya adendum itu dibawa semula ke dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) agar Najib boleh menjalani tahanan di rumah.
“Ataupun Lembaga Pengampunan diminta supaya Najib dapat pengampunan penuh daripada Agong. Kalau (kes masih) di mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga peringkat seterusnya ada sembilan hakim. Tak mudah.
“Saya harap boleh buat sesuatu, saya juga harap kepimpinan terutama Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong,” ujar beliau
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg