KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada 22 Julai menolak permohonan bekas perdana menteri Malaysia, Najib Tun Razak, dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tuduhan pecah amanah melibatkan harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion ($1.9 bilion).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan DNAA itu, tetapi berkata perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 22 Julai tidak dapat diteruskan.
Ini kerana pihak pendakwaan masih belum menyerahkan semua dokumen kepada pihak pembelaan untuk membolehkan peguam Najib dan Mohd Irwan Serigar memberikan pernyataan pembelaan mereka kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.
Beliau memberi masa hampir empat bulan kepada pihak pendakwaan untuk menyerahkan dokumen itu dan menangguhkan perbicaraan ke 14 November.
Terdahulu, peguam bela Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib dan Datuk Seri K Kumaraendran bagi Mohd Irwan Serigar, memohon agar anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan kerana mereka belum diserahkan dokumen lengkap untuk menyediakan kes pembelaan, lapor Berita Harian Malaysia.
Ia adalah kali kedua Najib dan Irwan Serigar memohon DNAA dalam kes ini. Mahkamah Tinggi pada 3 Mac 2022 telah menolak percubaan DNAA pertama mereka.
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dengan 18 Disember 2017.
Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 2 Februari dilaporkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya, selain pengurangan denda yang perlu dibayar selepas disabitkan atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 2022.
Dengan keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg