Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM: Pengurup ditahan, bantu siasatan kes mantan PM Ismail Sabri

Mar 20, 2025 | 12:31 PM
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana kerajaan RM700 juta.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana kerajaan RM700 juta. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan penahanan terbaru membabitkan seorang pengurup bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata suspek ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.

“Kami segera merujuknya kepada doktor yang mengesahkan bahawa dia mengalami masalah jantung tersumbat,” katanya lapor New Straits Times.

Tan Sri Azam berkata suspek dilepaskan berikutan masalah kesihatan bagi membolehkannya mendapat rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Datuk Ismail Sabri pada 20 Mac hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk proses rakaman keterangan yang masuk hari kelima, bagi siasatan kes membabitkannya.

Tan Sri Azam turut memberitahu proses rakaman keterangan mantan Naib Presiden Umno itu mungkin memerlukan beberapa sesi lagi.

“Saya tidak dapat meramalkan bila proses ini akan selesai, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi.

“Proses rakaman keterangan masih berjalan dan terdapat ramai lagi individu yang akan diambil keterangan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Tan Sri Azam meminta orang ramai memberi ruang kepada pasukannya untuk menjalankan siasatan menyeluruh, adil dan telus dalam kes berkenaan.

Datuk Ismail Sabri disiasat SPRM menyusuli penahanan empat bekas pegawainya ketika menjadi perdana menteri yang didakwa terlibat kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM700 juta ($212 juta).

Dana terbabit adalah bagi tujuan promosi dan publisiti kerajaan terdahulu dan kerajaan Datuk Ismail Sabri selama 14 bulan pemimpin berusia 65 tahun itu memegang jawatan dari 21 Ogos 2021 hingga 23 November 2022.

Datuk Ismail Sabri yang awalnya disiasat sebagai saksi kemudian disiasat sebagai suspek, berikutan siasatan SPRM terhadap penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta bersama 16 kilogram jongkong emas bernilai kira-kira RM7 juta, mengaitkannya dengan kes itu.

Wang tunai dan jongkong emas itu dirampas daripada tiga premis, termasuk sebuah safehouse (rumah di lokasi rahsia untuk persembunyian) di Lembah Klang yang ada kaitan dengan Datuk Ismail Sabri dan empat bekas pegawai yang berkhidmat dengannya ketika beliau menjadi perdana menteri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg