KUALA LUMPUR: Isteri mantan menteri kewangan Tun Daim Zainuddin didakwa gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar mengisytiharkan hartanya, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari.
Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 67 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan hakim, Cik Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Toh Puan Na’imah didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis itu mengikut Akta SPRM bertarikh 8 November 2023.
Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan bahawa notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di ibu pejabat SRPM, Putrajaya, pada 13 Disember 2023, mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 ($28,309) jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Toh Puan Na’imah dilihat memakai baju kurung hijau dan, dengan diiringi beberapa individu yang dipercayai peguamnya, memasuki lobi mahkamah pada 8.30 pagi.
Dia kelihatan tenang ketika gambar dan video dirakam oleh puluhan pengamal media yang berkumpul sejak pagi.
Toh Puan Nai’mah pada 22 Januari dilaporkan berkata pasukan pegawai SPRM merakam keterangannya di hospital suaminya dirawat.
“Ini berlaku walaupun saya memberi jaminan kepada mereka saya akan memberi kenyataan sebaik saja prosedur perubatan suami saya selesai pada hari Selasa (23 Januari).
“Saya kemudian diberitahu bahawa saya akan didakwa esok (23 Januari) pada 9 pagi mengikut Seksyen 36(2) SPRM 2009 kerana kononnya gagal mematuhi notis meminta mendedahkan maklumat mengenai aset,” katanya dalam kenyataan itu, lapor BHM.
Pada 10 Januari, Toh Puan Na’imah bersama dua anaknya, Encik Muhammed Amin Daim dan Encik Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan rasuah terhadap Tun Daim.
Sebelum ini, Tun Daim dilaporkan adalah antara orang yang disiasat SPRM berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan yang dikaitkan dengan Umno ketika parti itu mentadbir Malaysia.
Siasatan itu adalah kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Menyusuli itu, SPRM pada Jun 2023 membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta yang antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan ahli keluarga mereka.
Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.
Pada 21 Disember, SPRM menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, milik Tun Daim di Kuala Lumpur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg