Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsteri Mahathir, Siti Hasmah, meninggal dunia
Isteri Mahathir, Siti Hasmah, meninggal dunia
KUALA LUMPUR: Isteri kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia pada pagi 28 September di Institut Jantung Negara (IJN).
Perkara itu disahkan anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir kepada Bernama.
Allahyarhamha Siti Hasmah, menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini untuk disolatkan, pada petang 28 September.
Difahamkan, jenazah akan disolatkan selepas solat Asar di masjid berkenaan petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.
Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke kediaman di The Mines, Seri Kembangan, Selangor dari Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada 10.48 pagi tadi.
Allahyarhamha Dr Siti Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor, pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Di situlah beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mereka berkahwin pada 1956.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.
Berita Harian Malaysia melaporkan Kerajaan Malaysia memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Malek Razak Sulaiman, membantu pengurusan serta melaksanakan istiadat berkenaan.
“Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di IJN pagi tadi.
“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Allahyarhamha,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas kehilangan itu.
“Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamha, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Sebagai pelopor dalam bidang kesihatan ibu dan kanak-kanak, Allhyarhamha dilantik sebagai wanita pertama menyandang jawatan Pegawai Kesihatan Negeri pada 1974.
Beliau juga melanjutkan pengajian dalam bidang kesihatan awam di Universiti Michigan dan banyak menulis isu perubatan keluarga, kehamilan, dan kesihatan wanita.
Beliau menjadi isteri kepada Perdana Menteri Malaysia bermula 16 Julai 1981, dan menggunakan kedudukan itu untuk memperjuangkan kesihatan wanita, perancangan keluarga, literasi dewasa dan kawalan penyalahgunaan dadah.
Selain pernah menjadi satu-satunya wanita di Malaysia yang mendamping Perdana Menteri, Dr Siti Hasmah sebenarnya juga menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak, dan pada 1974, beliau adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Kanak-kanak dan Ibu Negeri.
Dr Siti Hasmah pernah mengarang beberapa artikel mengenai perubatan keluarga dan faktor sosio-ekonomi yang berkaitan dengan kehamilan dan melahirkan anak di Malaysia.
Dalam kempen penyalahgunaan dadah beliau sebagai Presiden Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) gigih mendidik masyarakat mengenai bahaya bahan larangan terbabit.
Pada 1985, beliau menghadiri Persidangan Wanita Pertama mengenai Penyalahgunaan Dadah di Washington DC atas jemputan Wanita Pertama Amerika ketika itu, Cik Nancy Reagan, dan kemudiannya mewakili Malaysia di Persidangan Antarabangsa di Vienna pada 1987.
Dalam memperjuangkan nasib wanita luar bandar, beliau turut membawa isu itu ke peringkat global termasuk memenuhi undangan Queen Fabiola dari Belgium, menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Pertama untuk Kemajuan Ekonomi Wanita Luar Bandar di Geneva pada 1992.
Di situ, beliau terpilih sebagai seorang daripada teras-Group Initiators dari rantau Asia Pasifik, dan menandatangani Deklarasi Geneva yang menjadi asas dasar peningkatan wanita luar bandar.
Dr Siti Hasmah menekankan bahawa dengan pendidikan dan latihan yang betul, wanita luar bandar boleh membesarkan anak-anak celik dan produktif yang boleh menjadi penyumbang positif kepada negara.
Beliau turut diberi kepercayaan dalam kesihatan mental apabila dijemput oleh Rosalynn Carter, bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, menyertai Jawatankuasa Kebangsaan Persekutuan Dunia Kesihatan Mental yang dipengerusikan Carter sendiri ketika itu.
Pada 22 Ogos 2019, Dr Siti Hasmah menerima gelaran ‘Ibu Negara’ daripada Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) sempena Hari Wanita Kebangsaan.
Sebagai penghargaan lanjut, Biasiswa Tun Dr Siti Hasmah bernilai RM10 juta dilancarkan oleh Yayasan Jeffrey Cheah untuk menyokong bidang seni kreatif dan muzik.
Dalam bidang pendidikan, Dr Siti Hasmah yang dilantik sebagai Canselor pertama Universiti Multimedia (MMU), malah dikatakan pencetus idea penubuhan fakulti perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau berasal daripada keluarga yang banyak berjasa kepada negara.
Antara adik-beradik beliau ialah Tun Mohamed Hashim, bekas Panglima Angkatan Tentera; Tun Ismail Mohd Ali, bekas Gabenor Bank Negara; dan Tan Sri Ahmad Razali Mohd Ali, bekas Menteri Besar Selangor.
Pemergian beliau hari ini mengundang kepiluan segenap lapisan masyarakat yang mengenang jasa dan keperibadian beliau yang lemah lembut, berwibawa dan penuh kasih sayang.
Dr Siti Hasmah dikenang sebagai lambang kesederhanaan, kebijaksanaan dan kasih sayang.
Beliau meninggalkan legasi abadi dalam sejarah pembangunan negara.