Isu demi isu uji kerajaan Anwar jelang laluan ke pilihan raya akan datang
Isu demi isu uji kerajaan Anwar jelang laluan ke pilihan raya akan datang
Beberapa episod kontroversi dan ketegangan politik yang tercetus dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai momentum pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis melihat kebimbangan itu lebih ketara apabila beberapa perkembangan utama itu berlaku ketika Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Anwar semakin menghampiri penghujung penggal menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
Antara isu yang mencuri perhatian ialah kenyataan Datuk Anwar yang tular di media sosial selepas beliau mengkritik reaksi sesetengah pihak terhadap insiden melibatkan seorang bukan Islam yang memijak al-Quran secara terbuka.
Dalam catatan di media sosialnya, Datuk Anwar menyifatkan reaksi agresif masyarakat terhadap isu itu sebagai ‘melalak’, satu istilah yang kemudian mencetuskan kritikan dalam kalangan rakyat mengenai pendekatan kerajaan dalam menangani isu sensitif berkaitan agama dan kaum.
Ketika rakyat masih ‘panas’ dengan kejadian yang menyentuh sensitiviti kaum itu, kerajaan Datuk Anwar berdepan satu lagi kritikan, selepas rang undang-undang (RUU) untuk mengehadkan tempoh pentadbiran Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun, gagal diluluskan di Parlimen.
Lebih menyedihkan, kegagalan itu menyusuli ketidakhadiran beberapa Ahli Parlimen (AP) daripada blok pemerintah ketika proses pengundian.
RUU tersebut hanya mendapat 146 undi, terlepas dua undi untuk mencapai jumlah yang diperlukan iaitu 148 undi bagi membentuk sokongan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan.
Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan, menjelaskan kepada Berita Harian (BH) bahawa kegagalan kerajaan meluluskan RUU penting itu memperlihatkan kelemahan kerajaan daripada sudut pengurusan politik dan disiplin AP.
KELEMAHAN KERAJAAN JADI PUNCA
“Ia berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri yang gagal memastikan kehadiran penuh AP kerajaan,” katanya yang menambah bahawa kegagalan itu memberi tamparan kepada Datuk Anwar, walaupun secara realitinya beliau bukanlah satu-satunya yang harus dipersalahkan.
Ketika ini, jumlah AP yang menyokong Kerajaan Madani ialah 154 orang, cukup besar untuk meluluskan satu-satu RUU di Parlimen.
Namun, kata Profesor Dr Azmi, lapan AP kerajaan yang tidak hadir untuk pengundian belah bahagian pada 2 Mac lalu telah menggagalkan usaha reformasi Kerajaan Perpaduan.
“Untuk harapkan AP pembangkang menyokong, saya rasa tidak kerana itulah mentaliti pembangkang,” katanya.
Selain gagal meluluskan RUU had penggal pentadbiran Perdana Menteri itu, kerajaan juga pada 3 Mac terpaksa menangguhkan satu lagi RUU untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang mendapat tentangan daripada AP kerajaan dan pembangkang yang menuntut penambahbaikan.
Penganalisis politik dan pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, berkata perbezaan pandangan terhadap RUU tersebut tidak semestinya mencerminkan perpecahan politik atau krisis kepimpinan Perdana Menteri.
“Bagi saya, sokongan atau penolakan terhadap RUU tidak bersifat partisan, tetapi lebih kepada persoalan sama ada pendekatan itu berkesan atau tidak dalam pentadbiran negara,” katanya kepada BH.
Beliau juga berpendapat bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukanlah keperluan mendesak ketika ini, memandangkan sistem demokrasi berparlimen tidak menetapkan had tempoh bagi jawatan tersebut.
Beliau berkata had tempoh lazimnya wujud dalam sistem Presiden, seperti di Amerika Syarikat, di mana Presiden hanya boleh memegang jawatan selama dua penggal.
Menurutnya, perbezaan utama antara sistem Presiden dan demokrasi berparlimen ialah ketua kerajaan dalam sistem Presiden dipilih secara langsung melalui pilihan raya dan hanya boleh diganti melalui pilihan raya seterusnya.
Sebaliknya dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, Perdana Menteri dipilih daripada kalangan AP yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Dalam sistem ini, Perdana Menteri boleh ditukar pada bila-bila masa jika hilang sokongan majoriti, contohnya melalui undi tidak percaya,” katanya.
HAD MUNGKIN TIDAK RELEVAN
Beliau berpandangan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri mungkin lebih relevan pada masa lalu ketika landskap politik negara dikuasai oleh satu parti atau gabungan yang memegang kuasa dalam tempoh lama.
Untuk rekod, Malaysia diperintah oleh Umno lebih 60 tahun dan merupakan parti dominan dalam kerajaan Malaysia, dengan Perdana Menteri paling lama berkhidmat ialah Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu selama 22 tahun.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui Datuk Anwar kemudian memperjuangkan agenda reformasi had penggal Perdana Menteri itu, bagi mengelak dominasi politik dan pemusatan kuasa eksekutif.
Namun menurut Dr Khairil Azmin, keadaan politik semasa di Malaysia kini jauh berbeza, dengan pembentukan kerajaan kini bergantung kepada gabungan beberapa parti dan kompromi antara pelbagai pihak.
“Dalam landskap politik Malaysia sekarang, untuk memilih seorang Perdana Menteri pun bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan gabungan beberapa parti dan kompromi antara mereka,” katanya.
Tambahnya, sokongan AP juga boleh berubah, termasuk melalui peralihan parti atau perubahan gabungan, sekali gus menjadikan kestabilan politik lebih dinamik berbanding sebelum ini.
Dalam pada itu, Dr Khairil Azmin berkata pelaksanaan had tempoh jawatan Perdana Menteri juga berpotensi menimbulkan cabaran baru daripada segi kestabilan politik.
Menurutnya, tempoh pemerintahan yang lebih pendek mungkin menyukarkan seorang Perdana Menteri untuk menyatukan sokongan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, walaupun beliau mempunyai sokongan majoriti.
“Jika seorang pemimpin memang mendapat sokongan majoriti tetapi tempoh perkhidmatannya dihadkan, kita mungkin menafikan elemen kestabilan politik,” katanya.
Kegagalan itu tidak mematikan hasrat kerajaan untuk melaksanakan agenda reformasi itu, dengan RUU berkenaan akan dibentangkan semula pada sidang Parlimen Jun ini, sekali gus membuka ruang kepada perbahasan dan pengundian semula selepas kegagalan sebelum ini.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Mohd Tah, berkata proses pembentangan RUU itu akan bermula semula daripada awal, termasuk bacaan pertama dan perbahasan seperti prosedur asal.
“Jika sebelum ini RUU itu gagal diluluskan, proses sama perlu diulang semula untuk membentangkannya,” katanya kepada BH.
OPTIMIS BOLEH LULUS
Dr Ikmal optimis bahawa kerajaan boleh memastikan RUU had penggal Perdana Menteri itu diluluskan Jun nanti jika strategi pengurusan Parlimen dan perbincangan rentas parti dijalankan dengan baik.
Beliau menekankan tindakan penting yang perlu diambil kerajaan untuk mengelak kegagalan sama berulang.
Antaranya beliau menyarankan kerajaan meneliti cadangan pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang menuntut beberapa penambahbaikan sebelum RUU itu dibawa semula ke Parlimen.
Blok pembangkang yang diwakili 68 AP daripada Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menolak RUU berkenaan, dengan alasan ia dianggap tidak berperlembagaan kerana menyentuh dan mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri.
Pembangkang kemudian menuntut beberapa penambahbaikan dalam RUU itu antaranya Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, dan memastikan Agong kekal mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan Perdana Menteri.
“Paling penting, kerajaan perlu memastikan kehadiran AP kerajaan, terutama mereka yang menyokong dan dalam masa sama mempertimbangkan cadangan pembangkang supaya tiada lagi alasan untuk mereka menolak RUU ini,” katanya.
Dr Ikmal menambah bahawa peranan Ketua Whip Parlimen amat penting untuk memastikan semua AP kerajaan hadir semasa pengundian.
“Kegagalan sebelum ini berlaku hanya kerana RUU tersebut kurang dua undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan implikasi politik daripada kegagalan RUU sebelum ini.
“Kegagalan itu menunjukkan bahawa tidak semua AP kerajaan bersetuju dengan had tempoh jawatan Perdana Menteri, walaupun idea asal datang daripada parti pemerintah sendiri, iaitu PH yang memang memperjuangkan reformasi ini,” katanya.
Dr Ikmal juga berkongsi sejarah politik Malaysia, di mana RUU yang gagal diluluskan bukan perkara asing, namun ia kali pertama berlaku di bawah pentadbiran Datuk Anwar, sekali gus meninggalkan persepsi negatif terhadap kewibawaan pentadbirannya.
Menurut Dr Ikmal, perkara sama pernah berlaku semasa pemerintahan PH pada 2019 apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) gagal diluluskan.
“Namun, RUU itu kemudian berjaya mendapat majoriti lebih dua pertiga selepas dibentangkan semula pada 2021, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini bukan saja berkaitan dengan politik parti, tetapi juga menyentuh kepentingan pentadbiran negara secara umum, termasuk elemen kestabilan dan pengurusan kuasa eksekutif.

