Kegagalan dua RUU cetus tamparan politik buat Kerajaan Perpaduan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegagalan dua RUU cetus tamparan politik buat Kerajaan Perpaduan

Mar 4, 2026 | 7:53 PM

Kegagalan dua RUU cetus tamparan politik buat Kerajaan Perpaduan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kerajaan perpaduan, rang undang-undang, reformasi politik
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdepan laluan mencabar dalam menjayakan agenda reformasi politik, selepas dua rang undang-undang (RUU) penting gagal diluluskan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan yang tamat 3 Mac.

Kegagalan meluluskan RUU itu di Parlimen meninggalkan kesan yang menguji kredibiliti pentadbiran Datuk Anwar.

Pada 2 Mac lalu, RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen (AP) dalam undian belah bahagi di Dewan Rakyat.

Dengan 146 undi sokongan, RUU itu terlepas dua undi lagi untuk mencapai 148 undi, jumlah yang diperlukan bagi meminda Perlembagaan.

Kegagalan ini diserikan lagi dengan 44 Ahli Parlimen (AP) yang memilih berkecuali, dan 32 AP lain, termasuk lapan anggota kerajaan, tidak hadir sewaktu pengundian.

Bagi penganalisis politik, kegagalan meluluskan RUU ini dianggap tamparan hebat buat Kerajaan Perpaduan, terutamanya dalam mengurus sokongan di Dewan Rakyat.

Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan.
Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan. - Foto fail

Geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, menyifatkan ketiadaan Ahli Parlimen (AP) kerajaan sebagai punca utama kegagalan Rang Undang-undang (RUU) itu mendapat sokongan.

Ini, katanya, menyerlahkan rapuhnya disiplin politik dalam kalangan anggota kerajaan sendiri, terutamanya apabila ramai AP kerajaan memilih untuk tidak hadir atau berkecuali.

“Jika kerajaan alpa menguruskan sokongan dalam kalangan AP sendiri, sukar untuk mengharapkan sokongan pembangkang yang sememangnya keras mentalitinya,” ujar beliau kepada Berita Harian (BH).

Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS) merangkap Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mewakili 68 AP pembangkang sebelum ini mendakwa, RUU tersebut dianggap tidak berperlembagaan kerana menyentuh dan mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri.

Tamparan buat Kerajaan Perpaduan berlanjutan apabila pada 3 Mac, kerajaan sekali lagi gagal meneruskan RUU bagi memisahkan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.

RUU ini bertambah rumit apabila timbul desakan daripada sekumpulan AP kerajaan dan pembangkang untuk merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi penambahbaikan kritikal sebelum bersetuju meluluskannya.

Malah, sekumpulan AP Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Datuk Anwar, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli, mengugut untuk berkecuali atau menolak RUU itu, mendesak penyemakan semula beberapa aspek, terutamanya fungsi Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

Bagi Profesor Dr Azmi, isu itu mencerminkan perbezaan pandangan dalam kalangan AP kerajaan mengenai sejauh mana pemisahan kuasa ini perlu dilaksanakan.

Rentetan ketegangan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan Dewan Rakyat bahawa RUU tersebut terpaksa ditangguhkan sementara.

Dari sudut pandang politik, kegagalan meluluskan kedua-dua RUU ini boleh menjejaskan kewibawaan dan agenda reformasi Kerajaan Perpaduan.

Pakar undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar.
Pakar undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar. - Foto ihsan KHAIRIL AZMIN MOKHTAR

Namun, kegagalan itu, menurut Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, pakar undang-undang UIAM, tidak semestinya isyarat kurangnya sokongan terhadap kerajaan.

Beliau menekankan bahawa kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) itu lebih dipengaruhi oleh prosedur ketat meminda Perlembagaan, dan bukannya krisis sokongan terhadap kerajaan.

Dr Khairil Azmin menjelaskan, sebagai pindaan Perlembagaan, RUU itu menuntut majoriti dua pertiga untuk diluluskan. Ini berbeza dengan undian sokongan biasa untuk menubuhkan kerajaan, yang sekadar memerlukan majoriti mudah, iaitu 112 daripada 222 Ahli Parlimen.

“Jadi, persoalan sama ada kerajaan mendapat sokongan yang mencukupi atau tidak, tidak relevan dalam isu ini,” tegas beliau.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, AP yang gagal hadir mengemukakan pelbagai alasan antaranya berada di hospital dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.

Namun, Dr Khairil Azmin menegaskan, pengajaran penting buat kerajaan Datuk Seri Anwar adalah perlunya berhati-hati dalam mengatur strategi politik. Ini bagi memastikan sokongan padu Ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat, sekali gus meredakan tekanan dan persepsi negatif terhadap pentadbiran.

“Jika cabaran ini gagal diatasi, ia berpotensi meranapkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan yang kini menerajui negara,” katanya kepada BH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg