Jam menunjukkan 10 malam. Kelihatan seorang lelaki dengan pakaian lusuh, duduk di satu sudut tangga berhampiran sebuah pusat beli-belah tumpuan ramai di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, mula membuka beg plastik usang yang dipikul berisi helaian pakaian.
Lelaki dalam lingkungan umur 40-an tahun itu mula mengeluarkan sehelai kain nipis dari beg plastik putih yang semakin kehitaman dan menghamparkannya di atas lantai tangga, lalu berbaring tanpa menghiraukan laluan yang sesak dengan orang ramai.
Dengan hanya berbantalkan lengan, bertilamkan lantai konkrit dan berbumbungkan langit, itulah tempat tidurnya.
Daripada pemerhatian, beliau kelihatan seperti kurang siuman, malah berbau hamis sehingga menusuk hidung dan menimbulkan ketakutan kepada pengunjung yang lalu-lalang.
Pemandangan itu bukan asing di sebalik bangunan pencakar langit dan lorong-lorong yang padat dengan pelancong di Kuala Lumpur.
Itulah realiti isu gelandangan yang masih berlarutan menghantui kawasan tumpuan di pusat bandar sehingga kini.
“Siapa tak sedih hidup gelandangan macam ini? Tapi umur saya pun sudah 61 tahun, saya pasrah habiskan masa tua begini dan hanya tunggu mati saja,” kata seorang gelandangan yang memperkenalkan dirinya sebagai Enciki Manivelu, ketika ditemui Berita Harian (BH) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menurut Encik Manivelu, yang berasal dari Kajang, Selangor, beliau sudah lebih setahun hidup sebagai gelandangan, selepas kehilangan tempat tinggal apabila adik lelakinya yang menjadi tempat bergantung, meninggal dunia.
Setiap hari, beliau tidur di atas bangku awam di Jalan Alor, Bukit Bintang, dengan berbantalkan beg oren berisi tiga helai pakaian di dalamnya, dengan tubuh kebalnya menahan sejuk embun sehingga pagi.
Namun beliau mengakui tidak pernah melalui pengalaman ditahan pihak berkuasa.
Walaupun hidup gelandangan, Encik Manivelu, tetap cuba mencari rezeki dengan mengutip tin dan botol untuk dijual bagi mendapatkan sedikit wang buat membeli keperluan diri, manakala makanan lazimnya diterima daripada sumbangan orang ramai.
“Tetapi bukan setiap hari saya boleh kerja kerana selalu kurang sihat.
“Ada hari yang bernasib baik saya boleh dapat hingga RM14 ($4.41) untuk dua kilogram barang kitar semula. Ada hari hanya RM5.
“Hari tidak sihat saya hanya duduk di celah bangunan. Duit yang dapat saya beli ubat untuk penyakit kulit yang dialami,” katanya.
Menurut Encik Manivelu, selepas bangun pagi, beliau akan ke tandas awam berhampiran untuk mandi dan membasuh pakaian dengan bayaran 50 sen sekali masuk.
“Saya keluar rumah hanya dengan tiga helai pakaian dan inilah yang saya pakai sejak setahun lalu,” katanya.
Perkongsian Encik Manivelu adalah antara beberapa kisah hidup gelandangan yang BH temui di beberapa kawasan di Kuala Lumpur.
Ternyata, setiap gelandangan mempunyai kisah sedih dan pahit masing-masing yang mengundang rasa hiba.
Lain pula kisah, Encik Ah Keong, 57 tahun, yang menjalani hidup gelandangan sejak 10 tahun lalu dan baru beberapa hari dibebaskan dari penjara selepas lima tahun menjalani hukuman kerana kesalahan dadah.
Dahulu beliau yang tidak pernah berkahwin, tinggal bersama ibu bapa di sebuah rumah pangsa di Kuala Lumpur.
Namun, selepas kematian orang tua, beliau menjual rumah itu dan bermulalah episod hidupnya sebagai gelandangan.
“Selepas jual rumah, saya joli semua wang sehinggalah terjebak dengan dadah. Daripada hidup senang dan terurus, kerana kesilapan sendiri, saya akhirnya jadi gelandangan,” katanya, yang kini sebatang kara.
Tinjauan BH di sekitar Chow Kit pula menemui seorang warga emas yang memperkenalkan diri sebagai Pak Cik Idris, 60 tahun.
Beliau yang tiada anak, merantau ke Kuala Lumpur dari Pahang, pada Jun 2025.
Ini selepas beliau dikatakan dihalau keluarga sejak kematian isterinya.
Memang beliau akui tidak pernah menyangka akan menghabiskan sisa hidup sebagai gelandangan.
“Sekarang sudah habis duit, jadi tidur sajalah di tepi jalan ini. Inilah tilam pak cik sekarang,” katanya sambil menunjukkan kotak yang digunakan sebagai alas dan beg yang dijadikan bantal.
Tinjauan BH di beberapa kawasan tumpuan gelandangan sekitar Kuala Lumpur mendapati sebahagian golongan gelandangan itu semakin berani menjadikan kawasan awam terbuka sebagai ‘rumah’ dan tempat tidur mereka.
Lebih menyedihkan, sebahagian mereka meninggalkan bau hancing, kelihatan tidak terurus serta kotor.
Ada juga yang meninggalkan sisa makanan dan sampah sarap sehingga mencemarkan kebersihan di kawasan awam.
Seorang pelancong Singapura yang mengunjungi Bukit Bintang, Cik Dayanah Masfir, 33 tahun, mengakui takut untuk melintasi tempat gelandangan tidur untuk ke kedai pakaian berhampiran kerana bimbang diapa-apakan.
“Dari seberang jalan saya nampak jualan murah di kedai pakaian ini. Tetapi sudah separuh jalan melintas, saya nampak ada gelandangan tidur dan terpaksa pusing ke jalan lebih jauh untuk mengelak kerana bimbang jika dia boleh bertindak agresif,” katanya.
Dengan kawasan Bukit Bintang yang hidup hingga awal pagi dan waktu perniagaan kebanyakan ditutup sekitar 3 pagi, ia menjadi tumpuan pelancong untuk membeli-belah dan menikmati pelbagai menu jalanan dan restoran makanan Timur Tengah yang terkenal.
Namun, dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 bakal menjelang kurang tiga minggu lagi dengan sasaran untuk menarik lebih 47 juta pelancong, isu gelandangan yang mencemarkan pemandangan menjadi satu kebimbangan besar yang boleh menjejas imej Malaysia.
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Encik Fong Kui Lun, berkata masalah gelandangan semakin meruncing di pusat bandar terutama di kawasan tumpuan pelancong, dan sudah acap kali dibangkitkannya, lantaran kawasan Parlimennya itu antara paling terkesan dengan masalah yang tidak berkesudahan itu.
Beliau yang juga pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), menegaskan bahawa isu gelandangan itu diburukkan dengan masalah bantuan tidak diselaraskan dan batasan kuasa penguatkuasaan, yang memerlukan tindakan segera kerajaan.
Beliau mengakui masalah gelandangan di sekitar Bukit Bintang menunjukkan trend peningkatan yang semakin parah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia didorong oleh pelbagai faktor kompleks termasuk kesempitan hidup, masalah psikologi dan kesihatan mental, serta kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, sebahagian besar kelompok gelandangan juga terdiri daripada warga asing, termasuk pelarian, yang menambah dimensi baru terhadap cabaran sosial di kawasan pelancongan utama di Kuala Lumpur itu.
“Kehadiran ramai bukan warganegara dalam kelompok gelandangan menambah kesan negatif kepada imej pelancongan Malaysia terutama ketika negara menyambut TMM 2026 tidak lama lagi,” katanya kepada BH.
Encik Fung berkata walaupun banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian tampil menghulurkan bantuan dan inisiatif seperti pengagihan makanan, tanpa sengaja ia menggalakkan gelandangan berkumpul di kawasan tertentu, menjadikan isu itu lebih sukar ditangani.
Di samping itu, kekangan penguatkuasaan turut menyukarkan tindakan lebih menyeluruh kerana tiada agensi yang mempunyai mandat jelas untuk menahan atau memindahkan gelandangan, menyebabkan operasi sering bertindih atau tidak tekal.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), telah mengambil beberapa langkah seperti memasang lampu limpah terang di kawasan tumpuan sebagai usaha menghalang aktiviti tidur jalanan.
“Namun, DBKL tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menahan atau memindahkan gelandangan,” ujarnya.
Kebimbangan mengenai isu gelandangan yang tidak berkesudahan itu turut diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang menyifatkannya sebagai masalah yang kian kritikal dan sukar ditangani.
Menurutnya cabaran terbesar dalam isu itu bukan hanya jumlah gelandangan yang ramai, tetapi dinamik baru yang terus muncul.
Ia termasuk pelarian berdaftar, gelandangan sementara dari negeri lain, termasuk mereka yang berdepan masalah kesihatan mental dan ketagihan dadah.
“Dalam satu operasi menyelamat, kita boleh jumpa sehingga 400 gelandangan. Tetapi esoknya, angka itu berubah lagi.
“Ada yang baru, ada yang kembali semula dan kita akui penyelesaian sekarang tidak cukup,” katanya menjawab soalan BH ketika ditemui dalam satu program di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Datuk Zaliha menegaskan kerajaan menjalankan pelbagai usaha untuk menangani masalah gelandangan, khususnya di Kuala Lumpur, termasuk meneliti semula Akta Orang Papa 1977, bagi merangka penyelesaian tuntas terhadap isu gelandangan.
“Di Kuala Lumpur saja kita sediakan tiga pusat transit gelandangan di Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Medan Tuanku, dengan hampir 5,000 gelandangan pernah mendapat manfaat daripadanya. Namun, masih ramai juga tidak berminat untuk ke pusat gelandangan.
“Malah, ramai gelandangan yang kita ambil dan hantar ke pusat khas di Gemencheh, Negeri Sembilan, dan kita berikan latihan.
“Sebahagian daripada mereka telah tamat latihan dan ada yang telah bekerja dengan agensi lain yang memberikan pekerjaan.
“Tetapi masalah gelandangan ini masih berterusan kerana ada gelandangan baru dan ada juga gelandangan berulang.
“Jadi saya kira apa yang kita perlu lakukan adalah satu perkara yang lebih tuntas, termasuk menerusi Akta Orang Papa 1977 yang sedang diteliti untuk penyelesaian terbaik,” katanya.
Datuk Zaliha turut memohon kerjasama orang ramai termasuk NGO yang aktif menghulur sumbangan, terutama makanan kepada gelandangan, supaya melaksanakannya secara sistematik dengan menumpukan agihan di pusat transit gelandangan bagi mengurangkan masalah kebersihan akibat makanan dan sampah sarap terbiar.
Menurut Datuk Zaliha, pihak DBKL juga sedang mengkaji untuk penyediaan kemudahan awam yang boleh mengurangkan masalah gelandangan seperti pembinaan tempat duduk awam yang tidak sesuai untuk dijadikan tempat tidur.
“
“Ramai gelandangan yang kita ambil dan hantar ke pusat khas di Gemencheh, Negeri Sembilan, dan kita berikan latihan. Sebahagian daripada mereka telah tamat latihan dan ada yang telah bekerja dengan agensi lain yang memberikan pekerjaan. Tetapi masalah gelandangan ini masih berterusan kerana ada gelandangan baru dan ada juga gelandangan berulang. Jadi saya kira apa yang kita perlu lakukan adalah satu perkara yang lebih tuntas, termasuk menerusi Akta Orang Papa 1977 yang sedang diteliti untuk penyelesaian terbaik.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg