KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia teguh dengan pendirian menekankan keperluan menghargai warisan sejarah dan merangka pembangunan adil serta seimbang yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, beliau memaklumkan bahawa pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampung Baru di Kuala Lumpur adalah selari dengan pendirian kerajaan.
“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat.
“Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang menjadi kepentingan nasional,” katanya dalam hantaran di Facebook pada 18 September, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin mahu isu pembangunan semula tanah di Kampung Baru dikendalikan secara teliti serta berhemah dengan memberi keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.
Tiada halangan jika kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, ujar Sultan Sharafuddin, namun syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
Sultan Sharafuddin juga mahu dalam setiap pertimbangan dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal itu, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira.
Menurutnya, Kampung Baru ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian hasil kurniaan Sultan Selangor ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).
“Sebab itu, saya mahu dalam setiap butir pertimbangan dilakukan semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira,” kata Sultan Sharafuddin.
Menurutnya, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampung Baru.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata kerajaan menegaskan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru, akan terus terjamin dan tidak diketepikan dalam sebarang perancangan pembangunan di kawasan bersejarah itu.
Beliau berkata setiap langkah pembangunan akan dilaksana dengan penuh hemah dan berpaksikan lunas undang-undang.
Katanya, sebarang usaha untuk mengganggu-gugat keharmonian masyarakat atau mempolitikkan isu tersebut adalah tidak wajar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg