Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Selangor: Pembangunan Kampung Baru mesti utamakan kepentingan Melayu

Tidak tolak usaha jadikan kawasan setara arus pembangunan semasa, namun garis panduan, syarat perlu jelas
Sep 18, 2025 | 4:09 PM
Malaysia, Sultan Selangor, Kampung Baru
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto FACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICE

Sebarang usaha pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, perlu dilaksanakan secara teliti dan berhemah, dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkata beliau tidak menolak usaha menjadikan kawasan itu setara dengan arus pembangunan semasa.

Namun, garis panduan serta syaratnya perlu jelas, berpihak dan menjaga hak masyarakat Melayu yang sekian lama menetap di situ.

“Dalam setiap pertimbangan, sejarah asal penubuhan dan warisan Kampung Baru perlu diambil kira.

“Kawasan ini ditubuhkan pada 1899 sebagai penempatan orang Melayu bagi tujuan pertanian, hasil kurniaan nenda Beta, Sultan Selangor ke-lima, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor pada 12 Januari 1900,” katanya dalam satu kenyataan pada 18 September.

Sultan Sharafuddin turut mengimbas semula pengalamannya sendiri yang pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Kampung Baru, ketika ayahnya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menjadi Raja Muda Selangor.

Menurutnya, ayah kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin juga lahir dan membesar di Kampung Baru.

Beliau menegaskan kawasan itu mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah negara kerana pernah menjadi nadi pembangunan Kuala Lumpur serta saksi kepada peristiwa besar bangsa Melayu.

Antaranya termasuk Kongres Melayu Se-Malaya 1946 di Kelab Sultan Sulaiman yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), peranan padang kelab itu sebagai tempat perlindungan orang Melayu ketika tragedi 13 Mei 1969, serta lokasi latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka.

Masjid Jamek Kampung Baru, yang dirasmikan Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, juga disebut sebagai simbol yang tidak wajar dipindahkan kerana menjadi sebahagian daripada identiti sejarah kawasan berkenaan.

“Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900. Maka, sebarang usaha pembangunan di kawasan ini mesti mengambil kira kelangsungan dan maruah orang Melayu, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga masa hadapan,” kata Sultan Sharafuddin.

Beliau dalam pada itu menegaskan pandangannya adalah mengenai sejarah, masa depan dan hala tuju Kampung Baru secara keseluruhan, dan tidak menyentuh secara langsung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru yang kini menjadi perbincangan awam.

Isu pembangunan semula Kampung Baru di Kuala Lumpur baru-baru ini mencetuskan ketegangan antara penduduk dengan pemaju.

Sebahagian besar penduduk mendakwa pampasan yang diterima tidak setimpal serta proses perpindahan tidak dimaklumkan secara telus.

Projek yang melibatkan rumah flat dan teres itu menimbulkan polemik kerana terdapat kumpulan minoriti penduduk asal yang tidak berpuas hati dengan syarat yang ditawarkan.

Pada Disember 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memberitahu Parlimen bahawa usaha sama antara pemilik dengan pemaju adalah hasil rundingan yang dipersetujui tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg