Isu Ketua SPRM timbul persoalan serius integriti pemimpin institusi penguat kuasa di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu Ketua SPRM timbul persoalan serius integriti pemimpin institusi penguat kuasa di M’sia

Pengamat: Kelemahan Kerajaan Perpaduan urus persepsi sebabkan isu itu berlarutan
Feb 21, 2026 | 5:31 AM

Isu Ketua SPRM timbul persoalan serius integriti pemimpin institusi penguat kuasa di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto fail

Isu kontroversi mengenai isu pegangan saham Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, seperti dilaporkan Bloomberg baru-baru ini, terus menimbulkan persoalan serius tentang integriti kepimpinan institusi penguatkuasaan di Malaysia. 

Laporan media antarabangsa itu berkisar kepada dakwaan pemilikan saham oleh Tan Sri Azam yang dikatakan melebihi had dibenarkan untuk penjawat awam dan persoalan sama ada ia menjejas kewibawaan serta tadbir urus institusi antirasuah.

Menurut laporan Bloomberg, Tan Sri Azam, mempunyai pegangan jutaan saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan, Velocity Capital Partner Bhd, yang pada satu ketika bernilai kira-kira RM800,000 ($260,211).

Jumlah itu dikatakan jauh melebihi had pegangan saham yang dibenarkan iaitu RM100,000 atau 5 peratus modal berbayar bagi penjawat awam, mengikut Pekeliling Perkhidmatan Awam 2024.

Laporan Bloomberg turut mendakwa sehingga 3 Februari lalu, nama Tan Sri Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.

Laporan itu mencetuskan kritikan meluas dan bantahan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan orang awam dengan desakan supaya Tan Sri Azam digantung tugas atau meletak jawatan, kerana didakwa wujudnya konflik kepentingan serta potensi pelanggaran peraturan.

Ia turut membawa kepada bantahan jalanan dengan ratusan peserta menyertai himpunan dinamakan ‘Tangkap Azam Baki’, yang turut dihadiri mantan Menteri Ekonomi Kerajaan Perpaduan dan mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, yang diketahui ramai sebagai ‘seteru’ Ketua SPRM itu sejak menjadi pembangkang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ‘menolak’ keperluan untuk Tan Sri Azam dicutikan atau ditamatkan perkhidmatan bagi membolehkan siasatan telus dijalankan.

Sebaliknya, beliau dilihat mempertahankan Ketua SPRM itu yang pernah disifatkannya sebagai berani dalam memburu pesalah rasuah.

“Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa? Baca penjelasan dia (Tan Sri Azam).

“Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you maki pasal apa? Salah. Dengar penjelasan masing-masing,” katanya mempertahankan Tan Sri Azam daripada desakan untuk dipecat berikutan kontroversi itu, pada 12 Februari lalu.

SPRM turut mengeluarkan kenyataan penafian tegas terhadap laporan Bloomberg itu, dengan menyifatkan dakwaan bahawa Ketua SPRM itu gagal mengisytihar harta sebagai mengelirukan dan tidak berasas.

Malah, untuk membuktikan beliau di pihak benar, Tan Sri Azam dilaporkan telah memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejas reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.

Dalam kenyataan menerusi peguamnya, Tetuan Zain Megat & Murad, firma itu memaklumkan pihaknya diarah memulakan tindakan berkenaan dan mendapatkan segala tindakan yang berkaitan dengan penerbitan itu termasuk tuntutan ganti rugi dan penalti lain yang bersesuaian.

Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau akan memulakan saman terhadap Bloomberg dengan tuntutan RM100 juta, sekiranya syarikat media gergasi antarabangsa itu gagal memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari terhadap surat tuntutan (LOD) dihantarnya.

Namun, beberapa pemerhati yang dihubungi melihat isu berkenaan lebih sebagai kekeliruan teknikal dalam pentadbiran.

Pengamat yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Na’eim Ajis.
Pengamat yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Na’eim Ajis. - Foto ihsan MOHD NA’EIM AJIS

Pengamat yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Na’eim Ajis, menegaskan isu pegangan saham Tan Sri Azam bukan kes jenayah, tetapi satu isu pentadbiran yang telah menyebabkan kontroversi tidak terkawal terus melarat.

Beliau berkata kelemahan kerajaan dalam mengurus persepsi dan krisis telah menyebabkan isu itu berlarutan, walaupun setakat ini sebenarnya tiada pelanggaran undang-undang dikenal pasti dalam kes pegangan saham Tan Sri Azam.

“Isu ini lebih kepada persepsi. Walaupun kontroversi wujud, momentum reformasi dan usaha bebas rasuah kerajaan tidak terjejas secara signifikan, namun mungkin menjejaskan reputasi sementara, tetapi jika kerajaan pantas memberi kefahaman kepada rakyat, persepsi ini boleh dikawal,” tegasnya kepada Berita Harian (BH).

Penekanan sama turut dibuat Persatuan Bekas Pegawai SPRM yang menjelaskan isu membabitkan Tan Sri Azam lebih kepada pengisytiharan aset dan had tertentu pemilikan saham berdasarkan Garis Panduan Perkhidmatan Awam.

Menurut persatuan itu, pengisytiharan aset pegawai awam hanya perlu dibuat kepada pegawai tertinggi dan bukannya terbuka untuk tatapan pihak umum termasuk masyarakat.

Dr Mohd Na’eim turut menyorot keberanian SPRM dalam membongkar kes-kes lama, termasuk tangkapan pegawai tinggi tentera, konglomerat dan syarikat besar, yang memungkinkan rentetan tindakan daripada pihak tertentu yang ingin ‘menyerang’ Tan Sri Azam, sama seperti yang sering berlaku dalam politik.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan wujud konspirasi, Dr Mohd Na’eim, tidak menolak ada pihak atau parti politik berpotensi mengambil kesempatan untuk mengalihkan perhatian daripada kejayaan SPRM memburu pesalah rasuah.

“SPRM menangani banyak kes besar termasuk syarikat gergasi. Dengan menyerang Tan Sri Azam, pihak tertentu mungkin cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kejayaan SPRM.

Fenomena itu juga menyorot dinamik politik Malaysia, yang mana pada 2021, Datuk Anwar ketika menjadi pembangkang pernah menggesa Tan Sri Azam yang turut terpalit isu pegangan saham untuk dipecat, tetapi kini sebagai Perdana Menteri, beliau menyokong SPRM setelah menilai operasi sebenar agensi itu.

Mengulas perkara tersebut, Dr Mohd Na’eim, tidak melihat keperluan Tan Sri Azam direhatkan atau ditamatkan perkhidmatan, namun yang lebih penting adalah segera mencari pengganti kepimpinan Tan Sri Azam, yang mutakhir ini berjaya membongkar kes rasuah berprofil tinggi.

Penganalisis yang juga Pensyarah Kanan Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Akbar Kamarudin@Abdul Shukor.
Penganalisis yang juga Pensyarah Kanan Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Akbar Kamarudin@Abdul Shukor. - Foto ihsan AKBAR KAMARUDIN@ABDUL SHUKOR

Penganalisis yang juga Pensyarah Kanan Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Akbar Kamarudin@Abdul Shukor, berpandangan sama bahawa kontroversi itu menjejas momentum reformasi dan usaha bebas rasuah yang dilaungkan Datuk Anwar, sekiranya tiada penjelasan tuntas mengenainya.

“Kalau kerajaan boleh jelaskan secara betul dan jelas, kesannya tidaklah besar.

“Pada saya, ini lebih kepada persepsi. Ia bukan isu jenayah, tetapi soal prosedur pemilikan harta oleh penjawat awam,” katanya kepada BH.

Beliau menambah, Tan Sri Azam, hanyalah ketua sebuah badan penguat kuasa yang menonjol dan perhatian media serta awam lebih tertumpu kepadanya.

Dr Akbar menegaskan berdasarkan laporan semasa dan penjelasan Tan Sri Azam, sepertimana penjawat awam lain, beliau juga berhak untuk membuat pelaburan, selagi harta yang diperoleh secara sah dan tidak menyalahi undang-undang.

“Selagi beliau mengikut prosedur dan peraturan, tiada asas untuk menamatkan perkhidmatan atau mengambil tindakan tatatertib terhadapnya,” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan penubuhan Jawatankuasa Khas diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, untuk siasatan lanjut dilakukan, semua pihak wajar menunggu hasil siasatan tanpa mencetuskan sebarang polemik baru.

“Pegangan saham ini akan disiasat oleh jawatankuasa yang ditubuhkan. Katakanlah sekali pun beliau memiliki saham itu menggunakan pengaruhnya sebagai Ketua SPRM, jawatankuasa yang telah ditubuhkan akan siasat.

“Tetapi sekali lagi saya ulangi, pandangan saya isu ini lebih kepada prosedur pemilikan harta penjawat awam dan bukan isu salah guna kuasa atau jenayah.

Ia juga telah disahkan kerajaan bahawa penjawat awam boleh memiliki lebih saham, tetapi dengan pengetahuan dan kebenaran ketua,” katanya. 

“Isu ini lebih kepada persepsi. Walaupun kontroversi wujud, momentum reformasi dan usaha bebas rasuah kerajaan tidak terjejas secara signifikan, namun mungkin menjejaskan reputasi sementara, tetapi jika kerajaan pantas memberi kefahaman kepada rakyat, persepsi ini boleh dikawal.”
Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Na’eim Ajis.

“Kalau kerajaan boleh jelaskan secara betul dan jelas, kesannya tidaklah besar. Pada saya, ini lebih kepada persepsi. Ia bukan isu jenayah, tetapi soal prosedur pemilikan harta oleh penjawat awam.”
Pensyarah Kanan Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Akbar Kamarudin@Abdul Shukor.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg