Pegangan saham: Ketua SPRM sedia disiasat kerajaan
Beliau kemuka surat tuntutan, ganti rugi RM100j kepada Bloomberg
KUALA LUMPUR: Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya.
Tan Sri Azam berkata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan kerana semua pengisytiharan kewangan dan harta sudah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa, yang diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
“Pendekatan sedemikian penting bukan saja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Kenyataan Tan Sri Azam itu menyusuli gesaan supaya kerajaan, Ahli Parlimen (AP) dan pihak berkuasa berkaitan bertindak berikutan dakwaan yang dilaporkan dalam laporan Bloomberg yang dikaitkan dengan SPRM, baru-baru ini.
Tan Sri Azam turut menegaskan, sebagai seorang penjawat awam dan ketua kepada agensi penguatkuasaan, beliau percaya mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.
“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya kebertanggungjawapan tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya.
Tan Sri Azam berkata sepanjang perkhidmatannya, dirinya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawapan dan kedaulatan undang-undang.
“Tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata,” katanya.
Menyusuli isu yang mencalar kredibilitinya itu, Tan Sri Azam Baki telah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg, mengenai laporan yang disifatkannya sebagai berunsur fitnah berkait dakwaan bahawa beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Firma guaman, Tetuan Zain Megat & Murad yang mewakili beliau, turut menuntut ganti rugi RM100 juta ($32.31) juta atas dakwaan menjejas reputasi serta kedudukan profesional Tan Sri Azam.
Hasil semakan mendapati LOD itu telah dihantar ke pejabat Bloomberg di Amerika Syarikat dan Malaysia.
Firma guaman itu dalam satu kenyataan pada 12 Februari, mendakwa artikel terbabit ‘berunsur fitnah, tidak bertanggungjawab dan sangat mengelirukan’.
Dalam pada itu Bloomberg mempertahankan laporannya berkaitan dakwaan Tan Sri Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Jurucakap Bloomberg News dalam jawapan ringkas berkata: “Kami mempertahankan laporan kami.”

