Dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), ‘tidak merestui’ keputusan kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambung kontrak pelantikan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali ketiga.
Kekecewaan dan ‘bantahan’ Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar serta Timbalan Presiden sekarang, Datuk Seri Rafizi Ramli, terhadap pelantikan semula Tan Sri Azam ke jawatan nombor satu SPRM itu sudah beberapa kali disuarakan, termasuk dalam tempoh kempen sempena pemilihan PKR 23 Mei ini.
Tan Sri Azam yang diberi mandat setahun lagi bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, Cik Nurul Izzah tegas mengulangi pendiriannya yang tidak mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Azam dan akan menyuarakan bantahan mewakili suara parti kepada Datuk Anwar yang juga bapanya merangkap Presiden PKR, andai terpilih dalam pemilihan parti dijadualkan pada 23 Mei ini.
“Saya akan bercakap (mengenai Tan Sri Azam) dalam skop parti,” kata Cik Nurul Izzah selepas program Pertemuan Khas Anggota & Pimpinan Keadilan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.
Datuk Rafizi pula dalam satu siri kempennya menjelaskan beliau tidak bersetuju sejak awal dalam pelantikan Tan Sri Azam mengetuai SPRM, namun tidak dapat menyuarakannya secara terbuka sebelum ini kerana berada dalam Kabinet.
“Saya tak boleh sebut mengenainya (bantah pelantikan Tan Sri Azam) sebab saya anggota pentadbiran dan kalau saya sebut secara terbuka itu akan menyebabkan Perdana Menteri (Datuk Anwar) perlu jawab.
“Tak boleh (sebut)... jadi saya kena diam dan telan,” kata Datuk Rafizi.
Tindakan melanjutkan kontrak Tan Sri Azam buat kali ketiga bukan sahaja mengejutkan ramai, malah membawa tanggapan buruk dan mengundang kritikan terhadap kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar, yang sebelum ini lantang menentang rasuah.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan, pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) termasuk Datuk Rafizi pernah mengeluarkan ‘ugutan’ untuk menahan Tan Sri Azam yang ketika itu disiasat berkait kontroversi pemilikan saham bernilai jutaan ringgit dalam sebuah syarikat pada 2015.
Tan Sri Azam dilanda kemelut selepas didakwa mempunyai konflik kepentingan menerusi pemilikan saham tersebut dengan pertikaian bagaimana seorang penjawat awam mampu mendapatkan berjuta unit saham.
Bagaimanapun, kerajaan Datuk Anwar dilihat mengkhianati idealisme reformasi khususnya dalam menentang rasuah dengan pelantikan semula Tan Sri Azam.
Untuk rekod, Tan Sri Azam telah diberi mandat sebagai Ketua SPRM pada Mac 2020, iaitu ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menggantikan Cik Latheefa Koya yang meletakkan jawatan selepas pertukaran kerajaan sebelum itu sejurus Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Cik Nurul Izzah tegas dengan keputusannya untuk tidak terlibat dengan debat bersama Datuk Rafizi, walaupun menerima tekanan daripada banyak pihak.
Segelintir penyokong dan ahli PKR menganggap debat yang disarankan Datuk Rafizi berupaya memecahbelahkan parti, manakala segelintir lagi menyifatkan ia satu keperluan untuk calon membentangkan visi masing-masing menjelang pemilihan parti.
Pemilihan pimpinan Pusat PKR akan berlangsung pada 23 Mei ini, serentak dengan Kongres Keadilan Nasional 2025 di Johor Bahru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg