SPRM tegas pegangan saham ketuanya telah diisytihar
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, sekali gus menafikan laporan media antarabangsa yang didakwa mengaitkan Tan Sri Azam dengan salah laku kewangan.
SPRM dalam satu kenyataan menegaskan laporan Bloomberg mengenai pemilikan saham Tan Sri Azam mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas, yang bukan saja merosakkan reputasi ketua badan antirasuah itu, malah boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap suruhanjaya itu.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa termasuk pengisytiharan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham.
“Gambaran seolah-olah terdapat kegagalan membuat pengisytiharan harta adalah tidak benar daripada segi fakta dan memberi tanggapan yang mengelirukan terhadap kerangka integriti dan tatakelola yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam.
“Ini sekali gus memberi persepsi negatif terhadap SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan,” kata SPRM dalam kenyataan pada 10 Februari.
SPRM menegaskan ia kekal komited menegakkan amanah, integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugas statutori yang diamanahkan, serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menjejas kredibiliti dan kepercayaan awam melalui pelaporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.
Terdahulu Bloomberg melaporkan bahawa Tan Sri Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bloomberg melaporkan bahawa pegangan saham itu didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Februari 2025.
Berdasarkan harga saham syarikat itu pada penutupan dagangan 9 Februari, Bloomberg melaporkan pegangan saham berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 ($257,528).
Dalam pada itu, New Straits Times melaporkan Tan Sri Azam menegaskan pemilikan saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat mengikut prosedur dan tidak melanggar undang-undang.
“Saya telah membuat pengisytiharan mengenai perkara ini termasuk sumber pendapatan saya melalui HRMIS kepada JPA. Semuanya telus,” katanya, sambil menambah saham berkenaan dibeli pada 2025 dan telah dilupuskan pada tahun sama.
Katanya, laporan media berkenaan adalah berniat jahat dan mengelirukan, serta tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana laporan itu bersifat memfitnah.
Pada sidang Parlimen 10 Februari, Ahli Parlimen Pasir Gudang (Johor), Encik Hassan Abdul Karim, dan AP Bukit Gelugor (Pulau Pinang), Encik Ramkarpal Singh, mencadangkan Tan Sri Azam direhatkan daripada jawatannya buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dibuat terhadapnya oleh SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), menyusuli laporan berhubung pemilikan saham oleh Bloomberg itu.
Encik Hassan turut membangkitkan laporan portal media itu yang mendakwa pemilikan saham Tan Sri Azam bernilai hampir RM800,000, melebihi had RM100,000 yang ditetapkan bagi penjawat awam untuk memiliki saham dalam mana-mana syarikat.
Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Encik M Kulasegaran, berkata perkara itu perlu disiasat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Kabinet akan membuat keputusan mengenainya dalam tempoh terdekat.
Untuk rekod, pada 2022 Tan Sri Azam pernah disiasat PDRM selepas terdapat laporan polis yang dibuat berhubung kepentingan dan pemilikan saham olehnya dalam beberapa syarikat.

