Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu pelarian Rohingya di M’sia: Antara kemanusiaan, undang-undang dengan realiti
Isu pelarian Rohingya di M’sia: Antara kemanusiaan, undang-undang dengan realiti
Perlu lebih usaha agar kaum Rohingya sesuaikan diri dengan budaya, nilai dan cara hidup setempat proses penyepaduan lebih terancang
Isu pelarian Rohingya di M’sia: Antara kemanusiaan, undang-undang dengan realiti
Isu lambakan dan dominasi masyarakat Rohingya di serata Malaysia yang kembali tercetus dan menjadi perhatian awam sejak Aidiladha pada Mei lalu, menyaksikan perbincangan hangat mengenainya di ruang media sosial dan wacana umum yang berlarutan sehingga kini.
Perbincangan bukan sahaja menyentuh aspek kemanusiaan, malah turut melibatkan kebimbangan terhadap monopoli mereka terhadap ekonomi dan sesetengah kawasan petempatan sehingga mencetus rasa tidak senang masyarakat tempatan, isu dasar negara, keselamatan sosial dan kedudukan undang-undang kumpulan pelarian tersebut di Malaysia.
Walaupun isu itu bukan perkara baharu di Malaysia, perkembangan semasa menunjukkan ia masih belum menemui titik penyelesaian yang jelas.
Ia sekali gus terus membangkitkan pelbagai gesaan daripada masyarakat supaya kerajaan mengambil tindakan segera menoktahkan isu itu, hingga tercetusnya gesaan mengusir Rohingya.
Menurut data Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sejumlah 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia sehingga Februari 2026.
Daripada jumlah itu, pelarian tertinggi yang berada di Malaysia adalah dalam kalangan warga Myanmar dengan etnik Rohingya mewakili 193,824 orang; etnik Chin, 15,774; dan 33,002 dalam kalangan individu daripada kumpulan etnik lain.
Jumlah itu menghampiri jumlah penduduk Orang Asli di Malaysia yang direkodkan Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Oktober 2025 sekitar 227,900 orang.
GESA HANTAR PULANG
Ramai berpendapat Malaysia telah memikul beban kemanusiaan selama beberapa dekad dalam isu pelarian Rohingya di negara itu dengan sumber terhad.
Justeru itu, langkah menghantar mereka pulang ke Myanmar atau negara ketiga perlu segera dilakukan.
Namun, gesaan supaya pelarian Rohingya dihantar keluar dari Malaysia tidak semudah yang disangka.
Ini kerana pelaksanaannya tertakluk kepada pelbagai pertimbangan undang-undang antarabangsa dan persetujuan negara lain.
Sepertimana didedahkan Profesor Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir, walaupun masyarakat Rohingya tidak mempunyai status sah di sisi undang-undang Malaysia, proses penghantaran mereka pulang tetap berdepan pelbagai halangan.
Media Malaysia memetik beliau sebagai berkata, antara cabaran utama adalah, Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegaranya, sekali gus menyukarkan usaha membawa mereka pulang.
Menurutnya, meskipun pelarian Rohingya berada di negara ini sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati), proses mengusir mereka perlu mengambil kira pelbagai aspek undang-undang antarabangsa.
“Status mereka ialah pendatang asing tanpa izin di negara kita. Jadi, kalau mereka berada di sini secara haram, mereka perlu diusir. Namun, masalahnya Myanmar tidak mahu menerima mereka.
“Jika mahu dihantar ke Bangladesh pula, kita tidak boleh berbuat demikian sesuka hati kerana Bangladesh ialah sebuah negara berdaulat.
“Perkara itu memerlukan rundingan dan persetujuan negara berkenaan,” katanya lapor Harian Metro.
Tinjauan Berita Harian (BH) ke beberapa kawasan di Selangor seperti Selayang yang menjadi tumpuan dan dimonopoli pelarian Rohingya mendapati, kebimbangan awam terhadap pertumbuhan masyarakat itu semakin jelas.
Peniaga burger, Cik Hasilah Mat Isa, 36 tahun, berkata beliau amat berharap kerajaan segera melakukan sesuatu untuk menangani isu itu sebelum ia semakin memburuk.
“Bila datang ke Selayang ini rasa macam masuk kawasan asing... kalau tidak terdesak untuk membeli sayuran yang sudah kehabisan stok daripada pembekal, memang saya tidak akan datang ke sini,” katanya.
TELITI JARINGAN SOKONGAN
Bagi Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ratna Roshida Ab Razak, isu pelarian Rohingya di Malaysia perlu dilihat daripada sudut kemanusiaan serta realiti semasa.
Ia termasuk hakikat bahawa perkembangan masyarakat tersebut selama beberapa dekad turut dipengaruhi oleh ruang sosial dan ekonomi yang wujud dalam masyarakat tempatan sendiri.
Beliau menegaskan bahawa bantuan atas dasar kemanusiaan tetap penting.
Namun pelarian perlu mematuhi undang-undang dan peraturan negara yang memberi perlindungan kepada mereka, serta tidak mengemukakan tuntutan yang melangkaui batas yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menjaga mereka atas dasar kemanusiaan, tetapi tetap ada hadnya.
“Apa yang telah diputuskan dan disediakan perlu dihormati, bukannya membuat tuntutan yang melangkaui perkara itu,” katanya kepada BH.
Mengulas pertambahan masyarakat Rohingya di Malaysia, beliau berkata masyarakat perlu meneliti faktor yang membolehkan masyarakat tersebut berkembang, termasuk kewujudan peluang ekonomi seperti pekerjaan, perniagaan dan jaringan sokongan yang turut melibatkan masyarakat tempatan.
Menurutnya, kejayaan sebahagian pelarian dalam bidang perniagaan tidak berlaku secara terasing, sebaliknya turut disokong oleh pelanggan dan ruang ekonomi yang wujud dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa isu itu perlu dilihat secara lebih menyeluruh, termasuk aspek sindiket penyeludupan manusia yang membawa masuk pelarian ke negara ini dengan bayaran tertentu.
“Kalau kita mahu mencari puncanya, kita perlu bertanya siapa yang membantu membawa mereka masuk dan menyediakan ruang untuk mereka berada di sini.
“Kita juga perlu melihat kembali peranan masyarakat sendiri dalam isu ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa Malaysia tidak lagi berada dalam keadaan yang membolehkan “memutar kembali masa”, memandangkan sebahagian besar masyarakat Rohingya telah menetap di negara itu selama lebih tiga dekad serta membina kehidupan dan keluarga.
Justeru, beliau menekankan keperluan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, di samping memanfaatkan potensi sumber manusia dalam kalangan masyarakat tersebut secara lebih tersusun.
“Kita sudah tidak boleh memutar kembali masa. Mereka sudah lama berada di Malaysia.
“Jadi persoalannya ialah bagaimana kita mengurus dan membangunkan potensi yang ada supaya dapat memberi manfaat kepada negara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar usaha yang lebih sistematik dilaksanakan bagi membantu masyarakat Rohingya menyesuaikan diri dengan budaya, nilai dan cara hidup masyarakat Malaysia.
Ia termasuk melalui proses penyepaduan yang lebih terancang, supaya mereka tidak dilihat semata-mata sebagai liabiliti, tetapi berpotensi menjadi aset kepada pembangunan negara.
MONOPOLI PERNIAGAAN
Isu monopoli perniagaan oleh warga Rohingya di Malaysia juga terus menjadi kebimbangan, apabila ia didakwa semakin meluas di beberapa kawasan termasuk di bandar, sekali gus menjejas peniaga tempatan.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Zainal Abidin Abd Majid, berkata isu berkenaan sebenarnya sudah berlarutan sejak sekian lama, namun kurang diberi perhatian serius sebelum ini.
Menurut beliau, sikap terlalu bertoleransi dalam kalangan masyarakat menyebabkan keadaan itu tidak ditangani lebih awal.
Beliau mendakwa terdapat keadaan apabila segelintir warga Rohingya bukan sahaja terlibat dalam perniagaan runcit, malah, turut membentuk rangkaian bekalan sendiri sehingga membolehkan mereka menawarkan harga lebih rendah berbanding peniaga tempatan.
Perkara itu, katanya berlaku apabila mereka mampu mendapatkan barangan secara pukal dalam kalangan rangkaian sendiri dan menjual semula dengan margin keuntungan yang kecil.
“Keadaan ini akhirnya mewujudkan persaingan langsung kepada peniaga kecil tempatan yang sedia berdepan tekanan ekonomi.
“Dalam sesetengah kes, saya juga menerima aduan mengenai ketegangan di kawasan tertentu apabila berlaku pertembungan antara peniaga tempatan dengan warga asing sehingga terjadi pergaduhan, kekasaran dan sebagainya,” katanya kepada BH.
Datuk Zainal turut berpandangan bahawa penguatkuasaan tidak lagi boleh leka dan perlu segara diperkukuh bagi membendung dominasi warga asing dalam sektor perniagaan kecil, termasuk oleh warga Rohingya.
“Saya sudah bertahun-tahun memperjuangkan isu ini. Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam memantau kawasan tumpuan serta mengambil tindakan terhadap aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan sedia ada,” katanya.
Dalam masa sama Datuk Zainal tidak menafikan sebahagian daripada perkembangan itu turut berpunca daripada tindakan warga tempatan yang menyewakan atau menyerahkan operasi perniagaan kepada warga asing.
Keadaan ini, katanya, membuka ruang kepada penguasaan pasaran di kawasan tertentu.
Beliau turut mencadangkan agar satu unit khas diwujudkan bagi menangani isu melibatkan penglibatan warga asing dalam perniagaan tidak formal, selain melihat semula dasar berkaitan pengurusan masyarakat pelarian di negara ini.
Menurut beliau, tanpa tindakan tegas, isu itu dikhuatiri akan terus memberi kesan kepada ekosistem perniagaan kecil tempatan serta mengubah landskap sosial di kawasan bandar tertentu.
