SHAH ALAM: Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) serta syarikat pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing didenda RM60,000 ($17,239) oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas tuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, pada Mac.
Pengurus besar KK Mart, Tee Kok Hiem, 61 tahun, dan pengarah syarikat pembekal terbabit, Hui San, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku salah atas tuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Bagaimanapun, Pengasas KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui, dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh mahkamah sama daripada tuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu kontroversi itu.
Turut mendapat perintah DNA ialah tiga pengarah syarikat pembekal stoking, Encik Xin Jian Chang Sdn Bhd, iaitu Encik Soh Chin Huat, 61 tahun; Encik Goh Li Huay, 62 tahun, dan Encik Soh Hui San, 36 tahun.
Semasa prosiding, Hakim Muhamad Anas menasihati kededua syarikat terbabit supaya lebih peka dengan isu yang boleh mengundang sensitiviti memandangkan negara ini hidup dalam pelbagai kaum dan agama dan ia bukan satu isu remeh.
“Saya bukan mahu berdakwah, tetapi bagi mana-mana agama sekali pun, jika menyentuh isu keagamaan akan menimbulkan perasaan tidak selesa.
“Saya berharap KK Mart dan Xin Jian Chang ambil iktibar dan bertanggungjawab dalam memperketatkan kawalan mutu masing-masing kerana barang kamu akan dijual kepada orang ramai. Saya harap kejadian sebegini tidak akan berulang,” katanya, lapor Astro Awani.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, berkata pendakwaan tidak bercadang meneruskan kes terhadap kelima-lima pengarah terbabit.
“Kami tarik balik tuduhan dan mohon DNAA (melepaskan tanpa membebaskan),” katanya.
Bagaimanapun, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Datuk Chai dan isteri, memohon mahkamah memberi perintah DNA kepada kededua anak guamnya. Perkara sama dibuat peguam, Encik Fahri Azzat, yang mewakili syarikat pembekal dan tiga pengarahnya.
Untuk rekod, dua syarikat dan lima individu terbabit telah mengemukakan perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya semua tuduhan terhadap mereka ditarik balik, pada 17 Mei.
Pada 26 Mac, Datuk Chai dan Datin Loh mengaku tidak bersalah masing-masing atas tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan KK Supermart, yang telah dilihat seorang lelaki berusia 32 tahun.
Syarikat pembekal Xin Jian Chang bersama tiga pengarahnya, didakwa masing-masing atas satu tuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh sama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg