Isu tanah Kg Melayu Majidee tidak patut dijadikan bahan politik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu tanah Kg Melayu Majidee tidak patut dijadikan bahan politik

Feb 3, 2026 | 1:51 PM

Isu tanah Kg Melayu Majidee tidak patut dijadikan bahan politik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Hairi Mad Shah, tanah kampung melayu majidee
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah. - Foto FACEBOOK HAIRI MAD SHAH

Isu status pemilikan tanah Kampung Melayu Majidee tidak wajar dijadikan bahan politik murahan kerana ia melibatkan peruntukan undang-undang, dasar tanah negara serta kelangsungan komuniti Melayu bandar untuk jangka panjang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin merangkap Exco Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, berkata demikian susulan kenyataan bekas Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Encik Dzulkefly Ahmad, yang cuba membina persepsi seolah-olah Kerajaan Johor tidak peduli terhadap tuntutan penukaran status pegangan pajakan kepada hak milik kekal di Kampung Melayu Majidee.

Menurut Encik Mohd Hairi, isu berkenaan yang telah lama wujud perlu dilihat secara adil kerana Encik Dzulkefly sendiri pernah berada dalam sistem pentadbiran negeri sebagai Exco dan mempunyai kedudukan untuk mengemukakan dasar serta membuat keputusan ketika itu.

“Jika benar perkara ini semudah yang digambarkan hari ini, mengapa tiada pelaksanaan menyeluruh dilakukan ketika beliau memegang jawatan?

“Isu tanah bukan bahan ceramah politik, sebaliknya melibatkan undang-undang, dasar nasional, struktur pemilikan komuniti dan masa depan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan pada 2 Februari.

Beliau menegaskan, memberi gambaran seolah-olah kerajaan hari ini tidak peduli adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab.

Ini disebabkan isu berkenaan tidak boleh diselesaikan hanya dengan satu keputusan politik tanpa mengambil kira implikasi undang-undang serta risiko pasaran.

Menurut beliau, di bawah Kanun Tanah Negara khususnya Seksyen 76(aa), pemberimilikan tanah secara pegangan kekal kepada individu hanya boleh dipertimbangkan dalam keadaan khas yang ditetapkan melalui ketetapan Majlis Tanah Negara.

“Berdasarkan penelitian rekod sejarah, tanah di Kampung Melayu Majidee telah dikurniakan sebagai pegangan pajakan sejak penubuhannya pada tahun 1951 dan status ini tidak termasuk dalam kategori keadaan khas yang membolehkan pertukaran kepada pegangan kekal.

“Ini bukan soal tidak mahu, tetapi soal terikat dengan peruntukan undang-undang,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri memahami kebimbangan penduduk berkaitan jaminan pemilikan jangka panjang, akses pembiayaan lebih baik serta potensi pampasan lebih tinggi sekiranya berlaku pengambilan balik tanah.

Sehubungan itu, pendekatan kerajaan negeri adalah melalui langkah pentadbiran yang lebih praktikal dan berterusan.

Ini termasuk memudahkan cara proses sambung pajakan, mempercepat pertimbangan permohonan serta menyediakan insentif pengurangan premium bagi meringankan beban penduduk.

“Pendekatan ini memberi jaminan kelangsungan komuniti tanpa mendedahkan mereka kepada risiko pasaran yang tidak terkawal,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan dalam konteks bandar, pertukaran kepada hak milik kekal lazimnya akan meningkatkan nilai hartanah dan mewujudkan kecenderungan pemilik untuk menjual tanah apabila menerima tawaran tinggi, sekali gus berisiko memecahkan komuniti dan menghakis identiti penempatan tradisi Melayu.

Kampung Melayu Majidee merupakan antara lokasi pilihan bagi warga Singapura yang mencari hidangan makanan terkenal.

Salah satu kedai yang mendapat perhatian adalah Murtabak Kampung Melayu Azo 96, yang menyajikan martabak Singapura.

Selain itu, Warung Nasi Lemak CIQ Kampung Melayu juga menjadi tempat persinggahan popular bagi mereka yang ingin membeli sarapan sebelum memulakan hari kerja di Singapura.

Pada 7 Januari, Peniaga Medan Niaga Kampung Melayu Majidee menyertai lawatan penanda aras ke Singapura sebagai sebahagian usaha berperingkat Kerajaan Johor untuk menaik taraf imej, kebersihan serta mutu makanan kawasan niaga berkenaan agar setara dengan pusat penjaja dan pelancongan bandar bertaraf antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg