Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agong nasihat umat Islam M’sia usah keterlaluan dalam isu kaum, agama

Jul 8, 2024 | 4:05 PM
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (tengah), menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya. Turut hadir ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri); dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (dua dari kanan).
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (tengah), menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya. Turut hadir ialah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri); dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (dua dari kanan). - Foto FACEBOOK SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, mengingatkan semua pihak di Malaysia agar tidak bersikap keterlaluan terutama dalam isu berkaitan kaum dan agama sehingga boleh mencetus perbalahan.

“Semua kaum ada budaya dan agama sendiri. Kita mesti hidup dengan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

“Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara. Perbezaan bangsa, budaya dan asal usul tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berselisih faham, caci-mencaci dan tuduh-menuduh di antara satu sama lain.

“Justeru, saya menggesa supaya kita menguatkan semangat hidup bersaudara untuk membentuk generasi masa hadapan negara yang bersatu padu,” ujarnya ketika berucap semasa Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 7 Julai.

Sultan Ibrahim turut menggesa supaya rakyat negara itu mengelak sebarang bentuk provokasi, fitnah dan hasad dengki yang boleh merosakkan ikatan perpaduan yang sudah lama terjalin.

“Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian ini dengan sikap saling menghormati, saling memahami dan bertolak ansur.

“Sebagai contoh, penggunaan pembesar suara di masjid dan surau yang kadangkala menimbulkan isu kepada penduduk setempat.

“Sebagai negara Islam, laungan azan ketika masuk waktu solat adalah wajar dibuat dengan kuat. Namun, bacaan Al-Quran, solat dan kuliah agama harus dibuat di dalam kawasan masjid itu sahaja,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sultan Ibrahim turut membuat teguran mengenai kewujudan banyak fahaman dan ajaran Islam berbeza-beza di Malaysia hingga menjadikannya sebagai ‘rojak’.

Kata beliau, agama Islam diamalkan di negara itu berlandaskan kepada ajaran Ahli Sunah Waljamaah dan fahaman berbeza itu memecahbelahkan umat.

“Janganlah kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran oleh pihak yang ada kepentingan sendiri.

“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu? Awak semua fikirlah betul-betul. Saya cuma boleh mengingatkan sahaja. Awak semua buat pilihan,” ujar beliau.

Agong turut menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya berhati-hati dalam menuntut agama di media sosial dan menggesa agensi kerajaan meningkatkan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat, selain menyediakan pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat.

“Selain itu, terdapat juga peningkatan kebimbangan mengenai penyebaran agama Islam mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran menyimpang daripada prinsip Islam sebenar.

“Oleh itu, saya suka mengingatkan di sini supaya masyarakat tidak menjadikan media sosial sebagai tempat berbalah atau bertengkar dan menularkan perkara yang memalukan kerana ini semua akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg