Jabatan agama Kelantan siasat dakwaan wanita bersuami dua
Jabatan agama Kelantan siasat dakwaan wanita bersuami dua
Lelaki dakwa isterinya kahwin lagi ketika mereka masih bergelar pasangan suami isteri
KOTA BHARU (Kelantan): Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki yang mengatakan isterinya telah berkahwin dengan lelaki Pakistan ketika mereka masih bergelar pasangan suami isteri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Encik Mohd Asri Mat Daud, mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
“Kes yang dikatakan wanita mempunyai dua suami itu sudah dalam pengetahuan Jaheik dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut. Itu saja maklumat untuk setakat ini,” katanya, lapor Harian Metro.
Terdahulu, seorang lelaki yang juga pesara tentera membuat laporan polis mendakwa isterinya berkahwin dengan lelaki Pakistan ketika mereka masih bergelar pasangan suami isteri.
Lelaki berusia 40-an tahun itu mendakwa perkara itu diketahui pada 10 Februari lalu ketika beliau hadir ke Pejabat Agama di Bachok, Kelantan, untuk mengambil surat cerai.
Ketika berada di pejabat berkenaan, lelaki itu dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas bahawa bekas isterinya mempunyai dua suami iaitu dirinya dan seorang lagi yang juga lelaki Pakistan.
Wanita itu dikatakan berkahwin dengan lelaki Pakistan berkenaan pada Disember 2025 lalu, sedangkan pasangan itu baru bercerai pada 14 Januari lalu.
Menyusuli itu, lelaki terbabit berjumpa dengan imam yang menikahkan isterinya dan imam berkenaan menjelaskan wanita itu mengemukakan dokumen lengkap ketika mahu berkahwin dan tiada sebarang masalah dokumen ketika dihantar ke pejabat agama.
Lelaki itu yang tidak berpuas hati itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bachok.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohd Ismail Jamaluddin, mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat lelaki berkenaan.
Sebelum ini pada Disember 2025, satu kes seumpamanya pernah dilaporkan di Kelantan, namun siasatan Jaheik kemudian mendapati wanita yang didakwa mempunyai dua suami itu disahkan sudah bercerai dengan suami pertama pada Jun 2022.
Wanita itu kemudiannya dilaporkan berkahwin buat kali kedua di Songkhla, Thailand, pada November 2025.
Encik Mohd Asri ketika itu berkata maklumat itu diperoleh selepas Jaheik mengambil keterangan wanita berusia 30 tahun dan bekas suami pertama yang berusia 46 tahun.

