Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Hukuman tahanan rumah boleh dilaksana di M’sia tanpa gubal undang-undang baru

Mar 7, 2025 | 12:11 PM
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (tengah), sedang melalui proses mahkamah untuk membolehkan perintah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah dilaksanakan.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak (tengah), sedang melalui proses mahkamah untuk membolehkan perintah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah dilaksanakan. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hukuman tahanan rumah buat banduan yang menjalani hukuman penjara boleh dilaksanakan di Malaysia, tanpa memerlukan undang-undang baru digubal.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata menurut Pejabat Peguam Negara, Akta Penjara memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, atau tempat sebagai penjara.

“Dengan kata lain, menteri mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan suatu rumah sebagai tempat yang sah untuk menahan banduan, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan bawah Akta Penjara 1995,” katanya, lapor Malaysiakini.

Jawatan Menteri Dalam Negeri di Malaysia kini disandang Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Datuk Azalina berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen (AP) Kepong, Encik Lim Lip Eng, yang mahu penjelasan sama ada undang-undang Malaysia membenarkan tahanan rumah, khususnya berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak.  

Encik Najib kini sedang menjalani prosiding mahkamah untuk mendapatkan pengesahan dan kebenaran beliau ditempatkan di bawah tahanan rumah, yang dikurniakan kepadanya melalui titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah, pada 29 Januari 2024 lalu.

Titah tersebut adalah perintah tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Sultan Abdullah ketika itu, yang memberi pengurangan 50 peratus hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Encik Najib dan denda daripada RM210 juta ($63.20 juta) kepada RM50 juta.

Encik Najib sedang menjalani hukuman selepas didapati salah pada 2022 dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg