Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadi bidan terjun sambut anak dalam kereta di pagi Syawal

Apr 3, 2025 | 12:12 PM
Encik Muhamad Uqbah Bahari dan isteri, Cik Nur Azrinahanim Ramli, menyambut kelahiran cahaya mata keempat. (Gambar kanan) Tangkap layar video kamera papan pemuka (dashcam) yang menarik perhatian netizen dan berjaya meraih 6.8 juta tontonan.
Encik Muhamad Uqbah Bahari dan isteri, Cik Nur Azrinahanim Ramli, menyambut kelahiran cahaya mata keempat. (Gambar kanan) Tangkap layar video kamera papan pemuka (dashcam) yang menarik perhatian netizen dan berjaya meraih 6.8 juta tontonan. - Foto ihsan MUHAMAD UQBAH BAHARI

IPOH (Perak): Meskipun tiada pengalaman menyambut kelahiran bayi, seorang ayah tetap menguatkan semangat menjadi bidan terjun.

“Tak tahu hikmah apa Allah swt nak beri, mungkin Dia nak bagi saya peluang tengok betapa besarnya pengorbanan seorang isteri,” ujar peniaga pakaian, Encik Muhamad Uqbah Bahari, 36 tahun.

Beliau berkata demikian ketika diminta berkongsi kisahnya yang menjadi bidan terjun selepas menyambut kelahiran anak keempat pada pagi 31 Mac bersamaan 1 Syawal.

Encik Muhamad Uqbah memuat naik di TikTok rakaman mendebarkan itu dari kamera papan pemuka (dashcam) kereta.

Ia menarik perhatian netizen dan sehingga kini, berjaya meraih 6.8 juta tontonan.

Berkongsi kisah itu, Encik Muhamad Uqbah berkata, kejadian itu berlaku pada 7.47 pagi ketika beliau dan isteri, Cik Nur Azrinahanim Ramli, 37 tahun, dalam perjalanan dari kampung di Gerik, Perak, ke sebuah pusat perubatan dekat Ipoh.

“Pada 5.30 pagi, isteri sudah sakit tapi dia hanya kejut saya sekitar 6.30 pagi, jadi saya tak berlengah dan terus membawanya ke pusat perubatan.

“Ketika dalam perjalanan, isteri tak tahan nak bersalin, jadi saya berhenti di tepi jalan dekat kilometer (km) 258.1 dan waktu itu sudah nampak rambut bayi keluar.

“Tapi saya tak beritahu isteri sebab tidak mahu dia panik. Kemudian isteri tanya saya boleh sambut anak atau tidak dan ikutkan memang tiada pengalaman kerana sebelum ini hanya temani dia di wad bersalin,” singkap Encik Muhamad Uqbah, ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Encik Muhamad Uqbah cuba membantu isterinya sehingga selamat melahirkan bayi lelaki mereka.

“Ikutkan memang gementar tapi perasaan itu hilang sampai tak rasa takut selepas isteri bagi semangat.

“Saya pun ingat pesan ayah supaya amalkan selawat Jibril untuk permudahkan urusan, dan syukur isteri selamat melahirkan cahaya mata kami selepas sekali meneran dalam tempoh seminit saja.

“Alhamdulillah, anak dan isteri selamat... saya pun dapat bawa mereka sampai tiba di pusat perubatan dengan kakitangan bertugas sudah sedia menunggu di tempat letak kenderaan,” ceritanya.

Meskipun berdepan pengalaman mencemaskan, Encik Muhamad Uqbah bersyukur kerana Allah swt mempermudahkan urusannya dan isteri.

“Urusan kami seperti dipermudahkan kerana jalan pun tak sesak dan lampu isyarat hijau saja. Seronok sudah tentu kerana dapat timang cahaya mata keempat pada pagi Syawal.

“Paling istimewa apabila dapat pengalaman sambut sendiri anak,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg