KUALA LUMPUR: Pusat Bandaraya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Puncak Asean ke-47 selama seminggu mulai 23 Oktober.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata polis akan berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi dari 23 hingga 28 Oktober.
“Polis akan menggerakkan kira-kira 16,000 anggota dari seluruh Malaysia, khususnya dari negeri-negeri bersempadan dengan Kuala Lumpur, bermula 23 Oktober bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.
“Pusat Bandaraya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya dan polis tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sidang puncak Asean dijadual bermula pada 26 Oktober ini.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijangka menghadiri sidang puncak berkenaan.
Datuk Mohamad menambah bahawa Presiden Brazil, Afrika Selatan dan beberapa pemimpin dunia lain akan hadir sebagai Rakan Dialog Sektoral Asean.
Cyprus dan Finland juga dijangka menjadi rakan dialog baru Asean.
Berikutan itu, kira-kira 70 sekolah akan beralih kepada kelas dalam talian, manakala penjawat awam yang bekerja dalam lingkungan 25 kilometer dari pusat bandar akan bekerja daripada rumah sepanjang tempoh sidang puncak tersebut.
Pusat Komando dan Kawalan Kuala Lumpur (KLC3), dalam hantaran di media sosialnya, berkata penutupan jalan akan dilaksanakan secara berkala antara 30 hingga 45 minit, bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi peringkat tertinggi sepanjang tempoh persidangan itu.
Selain itu, laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang ke pusat bandar, serta jalan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Putrajaya dan Lebuhraya KLIA, juga akan mengalami penutupan sementara untuk memberi laluan kepada konvoi rasmi.
Sidang Puncak Asean ke-47 dan sidang puncak berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijangka menarik kehadiran besar petugas media, mencerminkan minat meluas dari peringkat serantau dan antarabangsa terhadap pertemuan peringkat tinggi itu.
Ketua Sekretariat Induk Logistik Asean 2025 (Sila), Raja Saifful Ridzuwan Raja Kamaruddin, berkata setakat ini sekretariat menerima lebih 2,100 permohonan daripada petugas media termasuk wartawan, jurugambar, juruvideo dan kru teknikal, mewakili 150 organisasi media dari lebih 20 negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg