Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan bertindak: Bangunan, kawasan Jalan Masjid India selamat dikunjungi

Sep 11, 2024 | 2:08 PM
Suasana di sekitar Jalan Masjid India sedang warga Kuala Lumpur bersiar-siar dan membeli-belah di kawasan itu. Pada 23 Ogos berlaku kejadian tanah jerlus di situ.
Suasana di sekitar Jalan Masjid India sedang warga Kuala Lumpur bersiar-siar dan membeli-belah di kawasan itu. Pada 23 Ogos berlaku kejadian tanah jerlus di situ. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kawasan serta bangunan di Jalan Masjid India disahkan selamat untuk dikunjungi, dengan insiden tanah jerlus didapati adalah bersifat setempat.

Dapatan itu dilaporkan pada Mesyuarat Pasukan Bertindak Insiden Tanah Jerlus Masjid India pada 10 September yang dipengerusikan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Encik Mohamad Hamim.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil daripada lapan agensi dalam pasukan khas terbabit iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR); Jabatan Mineral dan Geosains (JMG); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Indah Water Konsortium (IWK); Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM); Institusi Jurutera Malaysia (IEM); serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).

DBKL dalam satu kenyataan menyatakan pada mesyuarat itu, semua agensi berkenaan melaporkan hasil dapatan masing-masing.

“Berdasarkan laporan itu, didapati kejadian tanah jerlus adalah bersifat setempat.

“Merujuk kepada maklumat geologi serta rekod penyiasatan tanah sedia ada, lokasi insiden tanah jerlus terletak atas formasi ‘Kenny Hills’ dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan syis, filit serta kuarzit.

“Mesyuarat Pasukan Bertindak Insiden Tanah Jerlus Masjid India yang diadakan pada 10 September 2024 mendapati bangunan dan kawasan Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam pada itu, DBKL kini sedang mengecilkan kawasan dinding adang di tapak kejadian.

“Sebelum ini, kawasan dinding adang adalah sepanjang 160 meter bermula dari Wisma Yakin hingga ke Pondok Polis Jalan Masjid India.

“Kawasan dinding adang yang baru akan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin hingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1; kawasan mendapan kedua iaitu di hadapan Pondok Polis Masjid India; serta sebahagian Lorong Tuanku Abdul Rahman 3,” katanya.

Pihak DBKL telah mengadakan dua sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi memaklumkan status terkini mengenai insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, termasuk status kemajuan kerja-kerja di tapak.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai Cik G Vijaya Lakshm dari India hilang selepas terjatuh ke lubang benam sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama sembilan hari dan tidak berhasil menemukan mangsa, ia dihentikan pada 31 Ogos lalu selepas pihak berkuasa mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keselamatan anggota pasukan SAR.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg