Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, menyifatkan Setiausaha Agung, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, sebagai keliru dalam membezakan antara tanggungjawab seseorang pemimpin kepada negara dengan hak sesebuah parti dalam menentukan pendirian politiknya sendiri.

Beliau berkata kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menegaskan tidak mahu bekerjasama atau “duduk semeja” dengan DAP dibuat atas dasar perbezaan ideologi politik dan bukannya berasaskan kaum seperti yang didakwa pihak tertentu.

Menurutnya, dalam sistem demokrasi, adalah perkara biasa apabila parti yang mempunyai prinsip, nilai dan perjuangan berbeza memilih untuk tidak menjalin kerjasama politik.

“Apabila Datuk Onn Hafiz menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama atau duduk semeja dengan DAP, pendirian itu dibuat berdasarkan perbezaan ideologi politik yang jelas antara Umno dan Barisan Nasional dengan DAP.

“Ia bukan soal kaum seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Jun.

Beliau berkata tidak bersetuju dengan DAP tidak bermakna seseorang itu bersikap perkauman atau menolak kepentingan kaum lain di negara ini.

Malah, katanya, hak semua kaum telah dilindungi menerusi Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada sistem kenegaraan Malaysia.

Encik Noor Azleen berkata perbezaan antara Umno dengan DAP bukan perkara baharu kerana kedua-dua parti mempunyai pegangan politik yang berbeza.

Menurut beliau, antara perbezaan paling ketara adalah pendirian DAP terhadap konsep Malaysian Malaysia yang masih termaktub dalam perlembagaan parti berkenaan.

Malaysian Malaysia adalah suatu fahaman yang tidak selari dengan semangat serta kerangka Perlembagaan Persekutuan yang selama ini dipertahankan oleh Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan perbandingan yang dibuat Encik Loke mengaitkan pendirian Datuk Onn Hafiz dengan keadaan pemimpin Umno dan DAP yang duduk semeja dalam Mesyuarat Jemaah Menteri di peringkat Persekutuan.

Katanya, perbandingan itu tidak tepat kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadiri mesyuarat Kabinet dalam kedudukan sebagai anggota kerajaan yang memikul amanah kepada negara.

“Datuk Seri Ahmad Zahid hadir ke mesyuarat Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam melaksanakan amanah kepada negara, beliau tidak mempunyai pilihan untuk menentukan siapa yang duduk di sebelahnya atau siapa yang turut menghadiri mesyuarat tersebut. Itu adalah tuntutan tugas dan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata kerjasama politik adalah perkara yang berbeza kerana setiap parti mempunyai hak menentukan haluan serta memilih rakan politik berdasarkan prinsip dan ideologi masing-masing.

“Namun, dalam soal kerjasama politik, setiap parti mempunyai hak menentukan pendirian dan memilih dengan siapa mereka mahu bekerjasama berdasarkan prinsip, ideologi dan nilai perjuangan masing-masing.

“Itulah perbezaan yang gagal difahami Encik Loke,” jelasnya.