KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen bersetuju sebulat suara untuk memulakan prosiding bagi menyiasat kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata keputusan itu dibuat menyusuli penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

"Pendedahan RCI itu amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di Malaysia terhadap TH sekiranya tidak ditangani sewajarnya.

"Masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan di Facebook pada 26 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengulas lanjut, Datuk Mas Ermieyati, berkata sebagai Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bersifat dwipartisan, PAC mempunyai bidang kuasa jelas untuk memulakan prosiding berhubung isu berkenaan selaras dengan peraturan dan arahan berkaitan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan prosiding itu bukan bertujuan mengulangi siasatan RCI yang sudah dijalankan secara menyeluruh, sebaliknya memberi tumpuan kepada status serta kemajuan sebenar pelaksanaan syor RCI.

Menurut beliau PAC mempunyai pengalaman mengendalikan prosiding berkaitan isu besar dan sensitif termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016; tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion ($6.12 billion) pada 2019; serta perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua iaitu kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2022.

Dalam masa yang sama, Ketua Umno Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, menyifatkan tindakan yang dilihat mengetepikan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam prosiding RCI TH itu, dibimbangi boleh menjejas kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Beliau membangkitkan kebimbangan itu menyusuli penjelasan mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, yang mendakwa beliau dinafikan hak untuk menghadiri dan memberi pandangan berhubung kedudukan JAN dalam RCI berkenaan.

Menurutnya, JAN sebagai agensi kerajaan bertanggungjawab memastikan taraf, sistem dan laporan audit bagi agensi di bawah seliaan kerajaan dilaksanakan pada tahap terbaik, telus, profesional dan berintegriti tinggi.

Beliau turut memberi peringatan bahawa sekiranya agensi kerajaan sendiri tidak lagi dipercayai, keadaan itu dikhuatiri boleh memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap institusi awam secara keseluruhannya.

“Jika anda sudah tidak percaya dengan agensi kerajaan sendiri, itu bermakna anda sendiri akan ‘membunuh’ mereka dalam senyap dengan membawa agenda kapitalis,” katanya.

Perkembangan terkini selepas RCI TH itu didedahkan kepada umum menyaksikan ahli politik yang juga mantan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH); dan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF), ditahan reman bermula 27 Ogos.

Kededua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri berusia 60-an tahun yang memakai pakaian lokap jingga dan bergari itu, tiba pada 9.30 pagi di Kompleks Mahkamah Putrajaya, dengan digiring pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada masa sama, tempoh reman bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga TH berusia 60-an tahun juga disambung empat hari lagi sehingga 31 Ogos, bagi membantu siasatan kes sama.

Laporan RCI TH sebelum ini mendedahkan agensi pengurusan haji umat Islam Malaysia itu mengalami kerugian berbilion ringgit, berikutan keputusan pelaburan dan kesilapan tadbir urus.