KUCHING: Sebanyak 14 kertas siasatan termasuk lapan yang baharu, dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyusuli pelbagai kelemahan dikesan menerusi pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.

Sepanjang tempoh dua minggu siasatan berlangsung setakat ini, SPRM menyerbu sekurang-kurangnya 28 premis, sebahagian besarnya di Lembah Klang, yang membawa kepada sitaan pelbagai dokumen dengan tujuh tangkapan suspek, termasuk lima direman, manakala dua lagi tidak direman atas faktor kesihatan.

Setakat ini, seramai 115 individu sudah dipanggil dan diambil keterangan masing-masing di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, berkata tiga daripada enam kertas siasatan awal yang dibangkitkan dalam laporan RCI itu sudah selesai sepenuhnya dengan ada Perakuan Untuk Pertuduhan dan Tiada Tindakan Lanjut (NFA), manakala tiga lagi siasatan berada pada peringkat akhir.

“Enam dakwaan rasuah yang disiasat SPRM sebelum ini merangkumi dakwaan rasuah dalam pembelian ladang oleh TH Plantation, yang juga anak syarikat TH.

“Kedua, berkaitan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam sewaan premis Restoran Opah di KL Sentral dan ketiga membabitkan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyelewengan sebuah lagi restoran,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Abdul Halim berkata dakwaan keempat adalah berkaitan penyelewengan dan rasuah oleh bekas Ketua Pegawai Operasi TH.

“Kelima, dakwaan pemalsuan dokumen ‘Rubber City’, yang dikatakan ladang TH, manakala keenam adalah dakwaan penyelewengan pegawai bagi anak syarikat Tabung Haji Properties Sdn Bhd,” katanya pada sidang media di Kuching, Sarawak, pada 13 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Abdul Halim berkata SPRM dalam siasatannya menjalankan pengesanan terhadap aliran kewangan, termasuk penelitian dokumen dan penyata kewangan daripada institusi perbankan serta kewangan berkaitan.

“SPRM juga sedang meneliti secara terperinci dokumen perjanjian kontrak serta dokumen pembayaran dan meneruskan siasatan terhadap keenam-enam isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan,” katanya.

Datuk Abdul Halim berkata semakan terperinci SPRM terhadap Laporan RCI TH menemukan lapan isu tambahan berkaitan pelaburan bermasalah, sekali gus membawa kepada pembukaan siasatan baru, menjadikan keseluruhannya kini 14 kertas siasatan.

Beliau berkata lapan pelaburan yang kini disiasat SPRM membabitkan Deru Semangat Sdn Bhd dalam sektor perladangan sawit; ABRAJ Sdn Bhd; Putrajaya Perdana Berhad; Al-Raudhah Real Estate; Al-Farida Residential Fund; Tabung Haji Properties Sdn Bhd; Tabung Haji Marine Sdn Bhd serta Tabung Haji Hotel & Residence.

Katanya, dokumen yang dibawa pulang pegawai penyiasat daripada pejabat dan premis yang diserbu sedang diteliti untuk tindakan seterusnya termasuk mengenal pasti saksi.

Beliau berkata pihaknya berharap dapat memanggil individu-individu yang sedang dikenal pasti bagi membantu siasatan itu secepat mungkin dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang.

Pada 30 Julai lalu, SPRM menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti hasil laporan RCI TH yang didedahkan sehari sebelum itu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, dilantik mengetuai pasukan khas itu bagi meneliti sebarang isu perundangan membabitkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram.