KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan melaksanakan pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) selepas kepincangan yang berlaku dalam institusi itu.

Ini bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pindaan itu adalah antara langkah Kerajaan Madani dalam memperkukuh tatakelola dan memastikan setiap kelemahan institusi itu sebelum ini, diperbetulkan dengan tegas.

“Tatakelola mesti terus diperkukuh, institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas. Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam.

“...Manakala AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) 1971 mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baru yang terus mengongkong suara mahasiswa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 16 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 29 Julai lalu, Datuk Anwar mendedahkan Tabung Haji mengalami kerugian RM10 bilion ($3.13 bilion), sekali gus mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji dari 2014 hingga 2020 telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai, sebelum dibentangkan dan dibahaskan dalam Persidangan Khas di Dewan Rakyat pada 11 Ogos.

Laporan setebal 211 halaman yang mendedahkan pelbagai kepincangan tadbir urus yang menyebabkan kerugian itu bukan saja mengejutkan kira-kira 10 juta pendepositnya, bahkan mencalar imej Tabung Haji sebagai antara badan pengurusan haji yang diiktiraf paling cekap dalam dunia Islam.

Dalam hantaran sama, Datuk Anwar berkata Kerajaan Madani di bawah pimpinan beliau akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik tanpa mengira latar belakang politik atau negeri.

Beliau berkata rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang juga wajar dibela kerana amanah kerajaan bukan hanya kepada penyokong atau negeri tertentu, bahkan kepada seluruh rakyat dan negara.

Bersempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 yang melabuhkan tirai pada 16 Ogos, Datuk Anwar, yang juga Presiden PKR berkata parti itu memilih jalan prinsip, idealisme dan keberanian melakukan perkara yang benar, dengan tidak akan menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita reformasi semata-mata demi mempertahankan kuasa.

Beliau menegaskan PKR perlu kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua masyarakat merentas kaum, agama dan wilayah dengan prinsip keadilan dibuktikan melalui dasar serta tindakan.

“Kekuatan PKR bergantung pada saf yang bersih, kepimpinan yang teguh dan gerak kerja yang tersusun. Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan.

“Rapatkan barisan, perkemas gerak kerja dan terus mara demi rakyat dan negara,” katanya.