Topik diikuti
Pergi ke BHkuJelang penamaan calon PRN Melaka: BN-PN depan cabaran dalaman; PH-Bersatu masih kabur
Pengamat: Rundingan pembahagian kerusi makin rumit susulan beza kekuatan dan tuntutan parti politik di Melaka
Jelang penamaan calon PRN Melaka: BN-PN depan cabaran dalaman; PH-Bersatu masih kabur
Percaturan politik menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 31 Oktober, memperlihatkan cabaran dan rumitnya usaha membentuk kerjasama rentas parti, kata penganalisis.
Ketika Barisan Nasional (BN) – sebahagian blok kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan – sekali lagi menjalin kerjasama dan persefahaman dengan gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), untuk menghadapi PRN Melaka kali ini, kededua gabungan itu tidak terkecuali berdepan cabaran daripada parti komponen masing-masing.
Namun, lebih mencuri tumpuan, kemungkinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang rancak disebut-sebut sebelum ini, masih belum menunjukkan kejelasan.
KERJASAMA PH-BERSATU TAK MENJADI?
Ini menyusuli pengumuman Bersatu pada malam 29 Oktober untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka menggunakan logo sendiri buat kali kedua, selepas PRN Negeri Sembilan, termasuk empat kerusi yang turut menyaksikan persaingannya dengan PH.
Pengumuman Bersatu itu menyaksikan calon parti itu akan menentang PH di empat kerusi iaitu DUN Ayer Keroh yang turut ditandingi calon PN dan Parti Bersama Malaysia (Bersama); Klebang (turut ditandingi BN); Gadek (turut ditandingi BN dan Bersama); dan Pengkalan Batu (turut ditandingi BN dan Bersama).
Ini sekali gus mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana kesediaan PH-Bersatu untuk merealisasikan kerjasama yang sebelum ini disebut-sebut ketika Bersatu kian tegang dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menerajui PN, terutama dalam usaha memburu kemenangan dalam PRN Melaka pada 14 November depan.
Perkembangan itu berlaku pada hari sama selepas enam Ahli Parlimen (AP) Bersatu menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Perpaduan di Parlimen pada 29 Oktober, beberapa jam sebelum penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 oleh Menteri Kewangan.
Menerusi perjanjian itu, mereka berikrar menyokong pentadbiran Datuk Anwar sehingga akhir penggal, termasuk Belanjawan 2027.
Sebagai balasan, setiap AP pembangkang yang terlibat akan menerima peruntukan kawasan Parlimen masing-masing pada kadar yang sama seperti diterima AP kerajaan ketika ini.
Dengan perkembangan itu, ramai membayangkan kerjasama PH-Bersatu hampir pasti dan lebih mudah dimeterai, walaupun berdepan tentangan kuat daripada parti komponen PH, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Ini mengambil kira rekod Bersatu pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjadi ‘dalang’ meruntuhkan kerajaan PH pada 2020 menerusi Langkah Sheraton.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata walaupun Bersatu dijangka bertembung dengan calon PH di empat kerusi ditandingi, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat Melaka untuk membuat pemilihan.
“Dalam konteks pilihan raya, pertindihan atau pertembungan bermakna parti terlibat akan bersaing, tetapi kita mengambil pendirian persaingan itu adalah persaingan yang sihat dalam sebuah sistem demokrasi,” katanya.
Penganalisis politik melihat pertindihan kerusi PH-Bersatu itu menunjukkan bahawa politik Melaka semakin kompleks, khususnya apabila rundingan pembahagian kerusi melibatkan kepentingan banyak parti yang mempunyai kekuatan dan tuntutan berbeza.
‘WAYANG’ ATAU CABARAN
Namun, ada segelintir pihak terutama blok pembangkang menyifatkan pertindihan kerusi itu hanyalah ‘wayang’ Bersatu untuk memperlahankan kecaman terhadap parti itu, yang sebelum ini keras menolak sebarang kerjasama politik dengan PH, khususnya DAP, namun kini terbuka menyokong Datuk Anwar menerusi CSA terbabit.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, menyifatkan pengumuman Bersatu untuk bertanding di empat kerusi yang turut ditandingi PH menunjukkan bahawa gagasan PH Plus masih belum diterjemahkan kepada kerjasama pilihan raya yang benar-benar tersusun.
Namun beliau menegaskan segala kemungkinan perubahan boleh berlaku pada hari penamaan calon pada 31 Oktober.
“Pertembungan ini memperlihatkan bahawa kedua-dua parti (PH dan Bersatu) masih mengutamakan kekuatan organisasi, pengaruh akar umbi dan peluang kemenangan masing-masing.
“Walaupun kemungkinan rundingan saat akhir tidak boleh diketepikan, saya melihat peluang untuk mengelakkan semua pertembungan tersebut semakin kecil selepas calon diumumkan secara rasmi.
“Persaingan ini juga berpotensi menyebabkan perpecahan undi dalam kalangan pengundi yang cenderung kepada PH dan Bersatu, sekali gus memberikan kelebihan kepada calon BN atau PN di beberapa kerusi tertentu,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Zamil Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan pertembungan kerusi PH-Bersatu sebagaimana diumumkan itu, bermaksud kerjasama antara PH dengan Bersatu belum lagi kukuh.
“Mungkin permulaannya (cubaan kerjasama) baru berlaku,” katanya.
Sebelum ini, pimpinan PH dan Bersatu masing-masing mengeluarkan kenyataan yang cenderung menyaksikan kemungkinan kerjasama dua parti itu untuk menghadapi PRN Melaka, terutama selepas BN, pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan akan mengulangi kerjasama dengan PN, sebagaimana di PRN Negeri Sembilan.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, persefahaman pembahagian kerusi antara dua parti itu berjaya menumbangkan kerajaan PH, apabila BN menguasai 18 daripada 25 kerusi ditandingi, sementara PN memenangi tujuh daripada 11 kerusi ditandingi.
Ini sekali gus membolehkan gabungan itu yang menguasai 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, menamatkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan diketuai PH dan membentuk Kerajaan Negeri.
PH mencatatkan prestasi buruk apabila hanya memenangi 11 daripada 36 kerusi ditandingi.
PRN Johor yang diadakan pada 11 Julai juga memihak kepada BN yang memperluaskan penguasaan dengan memenangi 48 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN, sementara PH yang bertanding di semua kerusi hanya memenangi lapan kerusi.
CABARAN BN-PN BAHAGI KERUSI
Semasa pengumuman calon PN pada malam 29 Oktober, parti itu juga hanya mengumumkan lima daripada enam calon yang bertanding mewakili parti itu.
Ini selepas komponennya – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dilaporkan tidak berpuas hati dengan rundingan dan pembahagian kerusi dengan PN dan menarik diri daripada bertanding.
“Bagi MIPP, maruah dan prinsip lebih penting daripada mengejar kerusi tidak relevan.
“Kami tidak akan mengorbankan prinsip demi kepentingan politik semata-mata,” kata Presiden MIPP, Encik P Punithan.
Bagaimanapun, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang ditanya mengenai perkembangan itu menafikan ia berpunca daripada pertikaian agihan kerusi dalam PN atau ketandusan calon, sebaliknya menegaskan calon bagi kerusi Kota Laksamana sedang diteliti lanjut.
PN yang asalnya diperuntukkan tujuh kerusi, hanya bertanding di enam kerusi, selepas salah satu komponen BN iaitu Parti Cina Malaysia (MCA) terlebih dulu mempersoalkan pembahagian kerusi BN dengan PN, yang didakwa tidak melibatkan perbincangan dengan MCA.
Pimpinan MCA telah bertindak keluar dewan ketika majlis pengumuman calon BN untuk PRN Melaka yang turut dihadiri Datuk Zahid pada malam 24 Oktober lalu.
Ia kemudian membawa kepada rundingan semula antara BN dengan PN, sebelum MCA diberikan satu lagi kerusi tambahan iaitu Bandar Hilir, yang awalnya diperuntukkan untuk kuota PN.
Pada PRN 2021 lalu, MCA diperuntukkan tujuh kerusi untuk ditandingi, namun hanya memenangi dua kerusi iaitu DUN Klebang dan Machap Jaya.
Dr Mohammad Tawfik melihat ketidakpuasan hati MCA sebelum memperoleh tiga kerusi, dan keputusan MIPP untuk tidak bertanding serta pertembungan Bersatu dengan PH menunjukkan bahawa persefahaman politik pada peringkat kepimpinan tidak semestinya mudah diterima oleh semua parti komponen.
Namun katanya, penyelesaian isu MCA turut membuktikan bahawa kompromi politik masih boleh dicapai.
“Cabaran sebenar bukan sekadar menyelesaikan pembahagian kerusi, tetapi memastikan jentera dan penyokong menerima keputusan tersebut.
“Sekiranya pertikaian berpanjangan sehingga tempoh berkempen, keadaan ini boleh menjejaskan penyelarasan jentera dan keyakinan pengundi,” katanya.
Profesor Azmi yang juga Geostrategis Akademi Penyelidikan Nusantara pula memuji kompromi dan percaturan PN yang memberi peluang kepada MCA, walaupun terpaksa ‘kehilangan’ satu kerusi yang patut ditandingi gabungan itu.
“Mungkin kerana PN merasakan mereka tidak ada peluang kalau kerusi tambahan (Bandar Hilir) itu ditandingi mereka kerana akan berdepan calon PH dari DAP,” katanya.
Dengan perubahan itu, BN akan bertanding 22 kerusi berbanding 21 kerusi ditandingi pada PRN 2021, sementara PN bertanding di enam kerusi.
BN-PN MAMPU PERTAHAN MELAKA
Melihat kemampuan BN untuk mempertahankan Melaka, Dr Muhammad Tawfik mengulas, BN masih mempunyai kelebihan berdasarkan kedudukannya sebagai penyandang kerajaan, kekuatan jentera akar umbi serta kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menjadi wajah utama kempen.
“Kemenangan 21 daripada 28 kerusi pada 2021 juga telah memberikan asas yang kukuh kepada BN.
“Bagaimanapun kerjasama BN-PN belum tentu menghasilkan pemindahan undi secara simetri menyeluruh kerana penerimaan penyokong kedua-dua gabungan masih perlu diuji.
“BN perlu memastikan isu tempatan, prestasi kerajaan dan keserasian calon terus menjadi keutamaan sepanjang kempen,” katanya.
Profesor Azmi pula melihat kemungkinan agak kuat untuk BN mempertahankan Melaka.
“Jadi kalau digabungkan dengan beberapa kerusi dimenangi oleh PN menerusi PAS, Parti Wawasan Negara dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, maka lebih 23 kerusi DUN itu adalah daripada kemenangan gabungan BN-PN,” katanya.
Namun, Dr Muhammad Tawfik tidak menolak penyertaan Bersama yang paling awal memulakan persediaan menghadapi PRN Melaka dengan mengumumkan 15 calonnya sejak Ogos lalu, boleh memberi cabaran kepada parti lain.
“Persediaan awal Bersama sejak Ogos lalu memberikan kelebihan dari segi masa untuk memperkenalkan calon, membina jaringan akar umbi dan mendekati pengundi.
“Namun, pengalaman PRN Johor yang menyaksikan kesemua 15 calonnya kehilangan deposit membuktikan bahawa parti ini masih menghadapi cabaran besar untuk membina keyakinan pengundi.
“Pandangan saya, Bersama berpeluang membaiki peratusan undi di Melaka, khususnya dalam kalangan pengundi muda, pengundi bandar dan mereka yang mahukan alternatif politik baharu.
“Bagaimanapun, populariti tokoh nasional tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan terhadap calon di peringkat DUN,” kata Dr Muhammad Tawfik.
“
“Pertembungan ini memperlihatkan bahawa kedua-dua parti (Pakatan Harapan dan Bersatu) masih mengutamakan kekuatan organisasi, pengaruh akar umbi dan peluang kemenangan masing-masing... Persaingan ini juga berpotensi menyebabkan perpecahan undi dalam kalangan pengundi yang cenderung kepada PH dan Bersatu, sekali gus memberikan kelebihan kepada calon BN (Barisan Nasional) atau PN (Perikatan Nasional) di beberapa kerusi tertentu.”