Keadaan jerebu yang semakin buruk di Malaysia bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan orang ramai, malah turut memberi kesan berbeza kepada perniagaan harian.

Sebahagian pengusaha aktiviti luar dan penjaja makanan antaranya berdepan kemerosotan pelanggan sejak awal Oktober, sekali gus menjejaskan punca pendapatan mereka.

Namun, pada masa sama, beberapa farmasi di Selangor dan Kuala Lumpur yang ditemui Berita Harian (BH) secara rawak pula mengakui mencatat lonjakan jualan pelitup muka dan ubatan yang berkaitan dengan masalah pernafasan, serta batuk dan demam.

Peniaga kuih di Taman Selasih, Batu Caves, Selangor, Cik Ariza Yaakob, berkata perniagaan kecil-kecilannya terjejas teruk sejak minggu lalu, apabila jualannya merosot sehingga 50 peratus.

“Bila jerebu teruk, orang ramai kurang keluar rumah. Paling teruk jualan sejak minggu lepas.

“Kuih banyak tidak habis walaupun kami menggoreng secara berperingkat dalam jumlah kecil kerana mahu pastikan pelanggan mendapat kuih yang panas.

“Sejak minggu lepas, nak berniaga pun tak seronok. Saya dan pekerja juga batuk-batuk sebab banyak berada di luar. Tetapi terpaksa juga keluar walau jerebu teruk sebab inilah mata pencarian kami,” katanya kepada BH.

Pengusaha sewaan basikal di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, Encik Muhammad Abdullah Rasuki, 29 tahun, berkata perniagaannya yang beroperasi hampir sepanjang hari, merudum sejak tiga minggu lalu.

Beliau berkata jumlah pengunjung ke pusat tumpuan riadah itu menurun sepanjang tempoh jerebu mula melanda Kuala Lumpur sejak awal Oktober, dan semakin buruk sejak beberapa hari lalu.

“Harap masalah jerebu ini cepat selesai kerana kesannya bukan saja pada kesihatan kami yang terpaksa banyak berada di luar kerana berniaga.

“Tetapi pendapatan kami juga terjejas teruk sehingga hendak dapatkan separuh daripada yang biasa kami perolehi pun semakin sukar terutama sejak seminggu lalu,” katanya.

Altra Gym Fitness di Selangor yang berkonsep terbuka mengakui mencatatkan kemerosotan jumlah pelanggan sejak jerebu memburuk minggu lalu.
Altra Gym Fitness di Selangor yang berkonsep terbuka mengakui mencatatkan kemerosotan jumlah pelanggan sejak jerebu memburuk minggu lalu. - Foto ihsan ALTRA GYM FITNESS

Pekerja Altra Gym Fitness di Selangor, Encik Hashim Baharuddin, 27 tahun, pula berkata jumlah pengunjung ke gim yang berkonsep terbuka itu menurun 15 peratus sejak jerebu melanda.

“Gim ini tiada alat penghawa dingin kerana berkonsep terbuka dengan pengudaraan luar.

“Jadi jumlah pengunjung agak merosot kerana mungkin mereka bimbang kesan kepada kesihatan apabila terpaksa bersenam dengan menghirup udara tercemar,” katanya.

Bagaimanapun, masih ada segelintir yang tetap beriadah di kawasan terbuka seperti Taman Tasik Titiwangsa, walaupun jerebu teruk sejak beberapa hari lalu.

Penuntut fisioterapi di Kolej Universiti Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur, Encik Salahuddin Hairul Hisham, 20 tahun, berkata beliau sudah bercuti daripada bersenam di situ sejak jerebu melanda dua minggu lalu.

“Hari ini (14 Oktober) baru saya keluar semula ke sini sebab perlu buat persediaan fizikal untuk satu pertandingan larian minggu depan. Walaupun diserang batuk sejak seminggu lalu, saya terpaksa keluar bersenam juga hari ini,” katanya yang ditemui BH.

Sementara itu, keadaan jerebu kembali memburuk dengan 34 kawasan di seluruh Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sehingga 3 petang, 15 Oktober.

Johan Setia dan Klang di Selangor, serta Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan, antara kawasan yang mencatatkan IPU tahap tidak sihat dengan bacaan menghampiri 200.

Lapan kawasan di Johor, selain banyak kawasan di Melaka, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pahang, Perak dan Pulau Pinang juga mencatatkan bacaan IPU tahap tidak sihat.

Keadaan jerebu yang memburuk turut mendapat perhatian beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang berkaitan dengan alam sekitar, yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap krisis jerebu rentas sempadan yang kembali melanda Malaysia akibat kebakaran hutan di Indonesia.