KUALA LUMPUR: Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di lima negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang, yang sebelum ini ditutup kerana jerebu, kembali dibuka dan beroperasi seperti biasa pada 19 Oktober.

Bagaimanapun, penutupan sekolah serta institusi pendidikan di Johor dilanjutkan selama lima hari lagi bermula 19 Oktober, berikutan keadaan jerebu dan kualiti udara yang masih membimbangkan.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di lima negeri terbabit dalam kenyataan pada 18 Oktober, memaklumkan aktiviti luar ditangguhkan dengan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup.

Pihak pentadbir sekolah pula perlu sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.

“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan itu dalam laporan Berita Harian Malaysia.

JPN Selangor turut menasihatkan pihak berkaitan hanya merujuk kepada saluran rasmi atau pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat sahih dan terkini.

Di Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh ini hendaklah ditangguhkan dan dijadualkan semula oleh pihak sekolah, menyusuli situasi jerebu yang masih melanda Malaysia.

“Ketetapan ini turut terpakai kepada semua peperiksaan dalaman yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Semua aktiviti di luar bilik darjah hendaklah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100,” menurut kenyataan itu.

JPN Melaka pula menasihatkan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah supaya sentiasa merujuk saluran komunikasi rasmi JPN Melaka atau pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.

Di Pahang, JPN dalam kenyataan memaklumkan semua sekolah di daerah Bentong beroperasi seperti biasa, namun semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan.

Selain itu, Datuk Anwar berkata Malaysia turut mengusulkan mekanisme kerjasama pada peringkat Asean untuk memperkukuh tindakan bersama menangani masalah berkenaan.

Katanya beliau mengikuti rapat perkembangan kebakaran itu yang turut menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat Malaysia, termasuk menyebabkan penutupan sekolah di beberapa negeri serta kawasan.

“Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, pada malam 18 Oktober.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula berkata Malaysia sebelum ini sudah menawarkan bantuan aset, membabitkan tiga helikopter dan sebuah pesawat Bombardier dengan kira-kira 50 anggota.

Datuk Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata walaupun aset dan jumlah keanggotaan yang ditawarkan itu kecil, berbanding tenaga diperlukan untuk memadam kebakaran itu, Malaysia komited memberikan bantuan berkenaan.