Topik diikuti
Pergi ke BHkuJETP Batu Pahat fokus sektor pembuatan, mahu limpahan JS-SEZ dinikmati semua daerah
Kerajaan Johor mahu pembangunan lebih seimbang merentasi 10 daerah
BATU PAHAT: Batu Pahat akan terus diperkasa sebagai antara pusat sektor pembuatan Johor menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), dengan tumpuan menarik pelaburan baharu dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Sahrihan Jani, berkata JETP dirangka bagi memastikan setiap daerah mempunyai hala tuju ekonomi tersendiri berdasarkan kekuatan dan potensi masing-masing.
Beliau berkata pembangunan ekonomi Johor tidak boleh hanya tertumpu di kawasan tertentu, khususnya kawasan yang menerima manfaat secara langsung daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Pembangunan Johor perlu bergerak secara menyeluruh dan seimbang merentasi kesemua 10 daerah.
“Limpahan pembangunan daripada JS-SEZ juga perlu diperluaskan supaya peluang ekonomi, pelaburan dan pekerjaan yang terhasil dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Ogos.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat JETP Daerah Batu Pahat bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut Encik Sahrihan, JETP bukan sekadar perancangan ekonomi di atas kertas tetapi menjadi antara landasan utama dalam merealisasikan aspirasi Maju Johor 2030.
Katanya, matlamatnya ialah memastikan tiada daerah ketinggalan dan tiada kelompok masyarakat terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
“Dengan perancangan yang tersusun serta gerak kerja bersepadu, kita mahu setiap kekuatan dan potensi Batu Pahat terus diperkasa sehingga mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi dan memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat,” katanya.
Encik Sahrihan berkata Datuk Onn Hafiz turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pemain industri, institusi pendidikan dan masyarakat bagi memastikan setiap rancangan dapat dilaksanakan.
“Maju Johor bukan hanya tentang sejauh mana negeri ini berkembang, tetapi sejauh mana kemajuan itu dapat dirasai dan dinikmati bersama oleh seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik Chua Jian Boon, berkata sektor pembuatan dikenal pasti sebagai antara kekuatan utama Batu Pahat yang akan terus dikembangkan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Apa yang ingin kami bawa untuk Batu Pahat bukan sekadar peruntukan dan pembangunan masyarakat, tetapi juga hala tuju daerah ini untuk lima tahun akan datang.
“Bagi Batu Pahat, sektor pembuatan merupakan antara potensi utama yang akan terus diperkasakan untuk membawa lebih banyak pelaburan dan peluang pekerjaan,” katanya.
Menurut Encik Chua, pendekatan JETP membolehkan setiap daerah dibangunkan berdasarkan kelebihan masing-masing dan bukan menggunakan satu pendekatan yang sama untuk semua kawasan.
“Setiap daerah ada kekuatannya yang tersendiri dan setiap daerah mempunyai potensi untuk bersaing. Setiap daerah akan kita bangunkan bersama-sama,” katanya.

