Isu rakyat akan ditangani secara tersusun dan menyeluruh melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Negeri Johor, yang diwujudkan bagi memantau pembangunan, menyelesaikan masalah setempat serta memastikan dasar kerajaan diterjemah dengan tindakan nyata.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata setiap jawatankuasa khas atau taskforce diberi mandat jelas merangkumi isu yang dekat dengan rakyat seperti penarafan Bandar Pintar di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT), penguatkuasaan terhadap pembuangan sampah haram, penyelesaian setinggan serta inisiatif pembangunan dan kebersihan bandar.
“Johor membuktikan bahawa setiap masalah rakyat ditangani secara sistematik, tersusun dan komprehensif, bukannya dengan pendekatan sementara atau reaktif.
“Mesyuarat yang diadakan pada 9 September juga memberi tumpuan penuh kepada laporan dan hala tuju taskforce supaya tiada isu rakyat yang dibiarkan berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, komitmen kerajaan negeri amat jelas iaitu memastikan suara rakyat sentiasa diberi perhatian, sama ada berkaitan kebersihan persekitaran, setinggan mahupun cabaran pembangunan bandar pintar.
“Dengan adanya taskforce, setiap aduan rakyat akan dipantau secara berkala dan tindakan susulan dibuat segera,” jelasnya.
Datuk Mohd Jafni turut menyifatkan mekanisme itu sebagai bukti Johor bergerak ke arah pembangunan mapan dan menyeluruh, yang mana aspek kebajikan sosial sentiasa seimbang dengan kemajuan prasarana serta projek-projek besar.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan tinjauan pada 8 September ke tapak projek pusat data di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), selepas lawatan awal pada 21 Ogos.
“Hasil pemantauan mendapati pemaju telah memenuhi arahan yang ditetapkan, termasuk pemasangan pagar penghadang (hoarding) di sekeliling tapak, menghentikan kerja pada waktu malam, melakukan pembersihan jalan secara berkala serta mengambil langkah mengurangkan kacau ganggu kepada penduduk. Ini membuktikan suara rakyat benar-benar didengar,” katanya.
Beliau turut menegaskan agar MBIP melaksanakan pemantauan secara agresif dan tidak berkompromi dengan pemaju ingkar. Tindakan tegas di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 akan terus dikuatkuasakan bagi memastikan garis panduan dipatuhi sepenuhnya.
Menurutnya, pusat data adalah antara tonggak utama agenda Digital Johor yang bakal melonjakkan negeri itu sebagai destinasi pelaburan teknologi masa depan.
Namun begitu, setiap pembangunan perlu dilaksanakan secara berhemah, tidak menjejaskan keseimbangan hidup rakyat serta kelestarian persekitaran.
“Kerajaan negeri komited memastikan pelaburan digital seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Semua pemaju pusat data wajib mematuhi garis panduan tenaga, air, trafik, sistem kumbahan serta mitigasi alam sekitar demi menjadikan pembangunan digital Johor progresif, menyeluruh dan mampan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg