Kerajaan Johor bercadang menaikkan levi kelulusan perolehan hartanah oleh pembeli asing dari 2 peratus kepada 3 peratus, selaras usaha kerajaan negeri itu menaik taraf dan memperkukuh sistem pengurusan tanah negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata semakan kadar levi itu adalah kali pertama dicadangkan selepas kadar levi bagi kelulusan pembelian hartanah oleh pembeli asing diperkenalkan sejak 2014.
“Kerajaan negeri telah berbincang tentang cadangan peningkatan levi kelulusan perolehan hartanah oleh kepentingan asing dari 2 peratus dengan minimum RM20,000 ($6,047) kepada 3 peratus dengan minimum RM30,000.
“Selain itu, cadangan peningkatan juga melibatkan bayaran pendaftaran urus niaga pindah milik tanah bagi hartanah melebihi RM500,000 dan ke atas dengan tambahan RM500 bagi setiap tambahan nilaian hartanah RM100,000.
“Sejak 2014, kadar levi bagi kelulusan perolehan hartanah oleh kepentingan asing telah dikuatkuasakan dan sehingga kini belum pernah disemak semula.
“Begitu juga dengan kadar bayaran pendaftaran bagi urus niaga pindah milik tanah yang telah digunakan sejak 2004 tanpa sebarang pelarasan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Datuk Onn berkata cadangan itu telah melalui sesi libat urus dan perbincangan antara Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Johor dan Jawatankuasa Peguam Johor.
Jelas beliau kerajaan Johor akan melaksanakan penambahbaikan dan naik taraf menyeluruh termasuk proses kerja yang mempercepatkan kelulusan dan pendaftaran urusan tanah di negeri itu.
“Ini termasuk permohonan oleh pembeli asing dipendekkan daripada 70 hari kepada 21 hari serta urus niaga dan bukan urus niaga tempatan dipendekkan daripada 14 hari kepada tujuh hari.
“Kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada penggunaan teknologi dalam sistem tanah negeri termasuk peruntukan RM1.55 juta untuk naik taraf Portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB).
“Peruntukan RM500,000 untuk pembangunan sistem e-SBKS yang mempercepatkan urusan SBKS (serah balik kurnia semula), ubah syarat, pecah sempadan dan pindah milik.
“Tempoh permohonan SBKS kini dipendekkan daripada 510 hari kepada hanya 53 hari. Sistem ini dijangka dilancarkan kepada umum pada September ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg