Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor cipta lebih 75,000 peluang pekerjaan baharu sejak 2022
Johor cipta lebih 75,000 peluang pekerjaan baharu sejak 2022
JS-SEZ dan pelaburan asing tingkatkan permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi
Johor cipta lebih 75,000 peluang pekerjaan baharu sejak 2022
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menegaskan usaha mewujudkan peluang pekerjaan bergaji premium untuk rakyat negeri ini bukan sekadar janji politik menjelang pilihan raya.
Ia sebaliknya sebahagian daripada perancangan pembangunan bakat yang sedang dilaksanakan secara berterusan menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata dakwaan kononnya kerajaan negeri gagal menyediakan peluang pekerjaan bermutu kepada anak Johor tidak berasaskan fakta dan mengabaikan pelbagai pencapaian yang telah direkodkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata agenda pembangunan modal insan dan pekerjaan bergaji tinggi telah diperkukuhkan menerusi penubuhan JTDC yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada November 2024.
“Apabila semakin hampir musim pilihan raya, ada pihak yang lebih selesa menjual persepsi daripada mengangkat fakta.
“Tetapi rakyat Johor hari ini bijak menilai. Mereka mahu melihat usaha, perancangan dan hasil yang dicapai, bukan sekadar mendengar retorik politik,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Jun.
Menurut beliau, Johor berjaya mewujudkan sebanyak 75,573 peluang pekerjaan baharu sepanjang tempoh 2022 hingga 2025 hasil kemasukan pelaburan strategik dan keyakinan pelabur terhadap negeri itu.
Katanya, pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta inisiatif JTDC turut menyumbang kepada peningkatan ketara peluang pekerjaan, dengan sebanyak 24,584 pekerjaan baharu direkodkan pada 2025, meningkat 37 peratus berbanding 2024.
Lebih membanggakan, ujarnya, seramai 8,537 anak muda Johor berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan melebihi RM4,000 sebulan setakat Mei 2026 menerusi pelbagai inisiatif padanan kerjaya dan pembangunan bakat yang dilaksanakan JTDC.
“Jika benar tiada peluang pekerjaan bergaji premium diwujudkan di Johor, bagaimana ribuan anak muda Johor telah berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan sedemikian?
“Apa yang dikongsikan Menteri Besar ketika bertemu mahasiswa bukanlah pengumuman baharu atau janji pilihan raya, tetapi perkembangan mengenai usaha yang sedang berjalan dan memberi impak kepada masa depan bangsa Johor,” katanya.
Encik Aznan berkata kerajaan negeri tidak pernah mendakwa semua masalah berkaitan pekerjaan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, namun pelbagai langkah sedang diambil bagi membina ekosistem ekonomi bernilai tinggi yang mampu menawarkan pekerjaan lebih bermutu.
Menurut beliau, kemasukan syarikat antarabangsa seperti DayOne, Princeton Digital Group (PDG), Equinix, AirTrunk dan YTL dalam sektor pusat data, serta pelabur seperti Wiwynn, Supermicro, Brooks, EcoCeres dan Singda Superalloy dalam sektor pembuatan maju, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Johor.
Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak menafikan cabaran penghijrahan bakat ke luar negeri dan ke Singapura, namun fenomena itu perlu dilihat secara realistik memandangkan Johor berkongsi sempadan dengan republik berkenaan.
“JTDC diwujudkan bukan sebagai slogan politik, tetapi sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat dengan industri menerusi program padanan pekerjaan, latihan kemahiran, peningkatan kemahiran dan pensijilan profesional mengikut kehendak pasaran,” katanya.
