Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan petunjuk penting bagi keyakinan pelabur memandangkan pelabur Singapura dan asing sedang melihat kepada tiga aspek iaitu kestabilan politik, ketekalan dasar dan kecekapan pelaksanaan, kata pengamat yang dihubungi Berita Harian (BH).

Menurut Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya (UM), keputusan PRN yang baik atau buruk akan memberi kesan berbeza kepada pelaburan negeri Johor.

“Jika keputusan PRN menghasilkan kerajaan Johor yang kuat dan selari dengan Putrajaya, projek RTS Link (Laluan Sistem Transit Laju), JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura), pusat data, logistik dan perindustrian akan mendapat momentum.

“Jika keputusan menghasilkan kerajaan lemah, majoriti tipis atau konflik negeri-(kerajaan) pusat, pelabur mungkin tidak menarik diri, tetapi keputusan pelaburan boleh menjadi lebih berhati-hati,” ujar Profesor Awang Azman.

Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura dijangka bakal beroperasi mulai awal 2027.

JS-SEZ pula ditubuhkan melalui perjanjian Singapura dan Malaysia pada 7 Januari 2025.

Ia meliputi kawasan sebesar 3,588 kilometer (km) persegi dan merangkumi kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, dengan sembilan kawasan utama dan 11 sektor utama seperti logistik, perkilangan, digital ekonomi, tenaga, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan kewangan.

PRN Johor perlu diadakan selewat-lewatnya pada 31 Julai, selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor pada 1 Jun.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu sidang media khas setelah menghadap dan mendapat izin Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pada PRN Johor ke-15 sebelum ini, yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) memperoleh 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing meraih satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memperoleh satu kerusi.

Dalam pada itu, pengamat menambah bahawa kededua projek itu tidak mungkin terbatal hanya kerana keputusan PRN Johor kerana ia merupakan projek strategik rentas kerajaan, melibatkan kepentingan persekutuan, negeri Johor dan Singapura.

Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, berkata jika kerajaan BN kekal memimpin Johor, “projek seperti RTS Link dan JS-SEZ akan diteruskan seperti biasa”.