JOHOR BAHRU: Tiga memorandum persefahaman (MOU) bernilai RM7.4 juta ($2.3 juta) dimeterai bagi menyokong pembangunan sektor pertanian Johor sempena pembukaan Astaka Johor di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (Maha) 2026, di Serdang, Selangor.

Johor turut memperkenalkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Johor (JARDC), yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi penyelidikan berimpak tinggi dalam sektor pertanian negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata penyertaan Johor dalam Maha 2026 menampilkan pencapaian negeri itu sebagai peneraju utama sektor pertanian Malaysia.

“Syukur Alhamdulillah, saya telah menyempurnakan perasmian Astaka Johor yang menghimpunkan lebih 50 agensi dan pemain industri pertanian negeri.

“Dalam majlis ini, tiga MOU bagi kerjasama pembangunan sektor pertanian Johor dengan nilai RM7.4 juta turut dimeterai,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Ogos.

Astaka Johor menempatkan kira-kira 24 reruai yang mempamerkan pembaharuan, teknologi pertanian, hasil tempatan serta peluang kerjasama dalam sektor pertanian dan agromakanan.

Encik Md Israk berkata JARDC akan menyatukan kegiatan penyelidikan dan pembangunan yang berpotensi menghasilkan penyelesaian praktikal kepada masalah dihadapi petani, pengusaha serta pemain industri.

“Penyertaan ini bukan sekadar ruang promosi, malah menjadi wadah untuk memperluas jaringan, membuka laluan pasaran dan kerjasama serta menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing,” katanya.

Beliau berkata sektor pertanian dan agromakanan perlu terus berkembang bagi memperkukuh ekonomi negeri, selain mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan serta keusahawanan.

Usaha itu turut menyokong aspirasi Maju Johor 2030 dan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP), yang mengenal pasti pertanian sebagai antara sektor berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Astaka Johor menyasarkan sehingga 200,000 pengunjung sepanjang Maha 2026, yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sehingga 6 September.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Sahrihan Jani, berkata penubuhan JARDC penting untuk membawa sektor pertanian negeri ke tahap lebih tinggi.

“Saya melihat JARDC sebagai satu langkah penting untuk memajukan sektor pertanian Johor melalui penyelidikan, pembaharuan, penggunaan teknologi dan pembangunan penyelesaian yang dapat memberikan kesan kepada industri serta pengusaha.

“Kekuatan yang kita miliki hari ini perlu terus digerakkan dengan pendekatan baru supaya Johor bukan sahaja kekal sebagai peneraju sektor pertanian negara, malah mampu bergerak ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurut Encik Sahrihan, kerjasama antara jabatan, agensi negeri, pemain industri dengan usahawan tempatan akan membuka lebih banyak peluang untuk membina jaringan serta menembusi pasaran baru.

Kerjasama itu juga diharapkan dapat menarik pelaburan dan melahirkan lebih ramai usahawan dalam rantaian industri agromakanan.

“Melalui JETP, sektor pertanian dan agromakanan perlu terus diperkasa sebagai antara sektor yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.