JOHOR BAHRU: Johor mahu meningkatkan produktiviti kawasan pertanian sedia ada, memperkasa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) serta memperluas penggunaan teknologi dan mekanisasi bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri utama pengeluar agromakanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata usaha menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian turut perlu diberikan perhatian bagi menjamin kesinambungan sektor itu.

Beliau berkata Johor mempunyai potensi besar untuk terus membangunkan pertanian sebagai sektor ekonomi yang moden, produktif dan berdaya saing.

“Antara perkara yang perlu terus diberikan perhatian ialah peningkatan produktiviti kawasan pertanian sedia ada, pemerkasaan TKPM, penggunaan teknologi dan mekanisasi serta usaha menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang pertanian,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Ogos.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pertanian Negeri Johor.

Encik Md Israk berkata lawatan itu memberi peluang kepada kerajaan negeri mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai perkembangan semasa sektor pertanian dan agromakanan, termasuk pencapaian program dan projek serta cabaran yang memerlukan tindakan bersama.

Menurut beliau, Jabatan Pertanian memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor tanaman dan industri asas tani, selain membantu memastikan keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan petani dan usahawan tani.

“Sebagai antara negeri utama pengeluaran agromakanan negara, Johor mempunyai potensi besar untuk terus memperkukuh sektor pertanian sebagai sektor ekonomi yang moden, produktif dan berdaya saing.

“Dengan kerjasama antara kerajaan negeri, Jabatan Pertanian, agensi berkaitan, pemain industri, petani dan usahawan tani, kita mampu membina ekosistem agromakanan Johor yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata matlamatnya ialah memastikan Johor terus menjadi antara peneraju utama dalam agenda keterjaminan makanan negara, di samping menjadikan pertanian sebagai bidang yang mampu memberikan pulangan ekonomi lebih baik kepada pengusaha.

Dalam perkembangan berasingan, Encik Md Israk turut mengadakan sesi pertemuan dengan Ketua-Ketua Kampung Daerah Tangkak bagi membincangkan pentadbiran, pembangunan kampung serta isu yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, terdapat 73 Ketua Kampung di bawah pentadbiran Daerah Tangkak yang mewakili kampung induk dan rangkaian masing-masing merentasi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Bukit Kepong.

Beliau berkata Ketua Kampung mempunyai peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan negeri dengan masyarakat kerana mereka paling hampir dengan penduduk dan memahami keperluan setempat.

“Ketua Kampung menjadi mata dan telinga kerajaan dalam mengenal pasti isu, menyampaikan maklumat dan menyelaras tindakan bersama jabatan serta agensi berkaitan,” katanya.

Encik Md Israk berkata peranan kepimpinan akar umbi perlu terus diperkasa dalam menjayakan Agenda Maju Johor 2030 supaya pembangunan yang dirancang di peringkat negeri benar-benar diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasakan masyarakat.

Beliau berkata kerjasama tersusun antara kerajaan negeri, pentadbiran daerah, jabatan, agensi dan kepimpinan kampung penting bagi memastikan tiada kawasan atau kelompok masyarakat tercicir daripada pembangunan Johor