Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor kesal gangguan terhadap petugas media semasa konvensyen politik
Johor kesal gangguan terhadap petugas media semasa konvensyen politik
Johor kesal gangguan terhadap petugas media semasa konvensyen politik
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memandang serius kejadian kekecohan dan gangguan terhadap petugas media yang dilaporkan berlaku semasa liputan sebuah konvensyen parti politik di bandar raya ini pada 17 Mei.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata sebarang tindakan yang boleh menghalang tugas pengamal media atau menjejas keselamatan mereka ketika menjalankan tanggungjawab profesional tidak sepatutnya berlaku dalam mana-mana program atau acara.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Johor sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang menitikberatkan nilai adab, santun, hormat-menghormati serta kematangan dalam berurusan dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Budaya agresif, provokatif atau tindakan melampau bukanlah cerminan budaya Bangsa Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian, kebijaksanaan dan kesopanan dalam setiap tindakan,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 Mei.
Encik Aznan berkata semua pihak termasuk penganjur program, pasukan keselamatan dan pengurusan acara mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan suasana selesa dan profesional dapat diwujudkan khususnya ketika melibatkan urusan media.
Beliau turut menghormati tindakan Kelab Media Johor (KMJ) yang menyalurkan perkara berkenaan melalui saluran sewajarnya dan berharap semua pihak memberikan kerjasama penuh bagi meredakan keadaan serta mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Sementara itu, Kelab Media Johor menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan agresif skuad keselamatan sebuah parti politik yang didakwa menghalang tugas petugas media tempatan termasuk dari Johor dan Kuala Lumpur ketika membuat liputan konvensyen berkenaan.
Menurut kenyataan KMJ, kejadian itu turut melibatkan tolak-menolak dan pertelingkahan mulut ketika petugas media cuba mendapatkan reaksi pimpinan parti politik.
KMJ berkata keadaan tidak terkawal itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa, malah menjejas keselamatan petugas media yang sedang menjalankan tugasan secara profesional.
“Sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, pengamal media sewajarnya diberikan kerjasama serta layanan profesional oleh semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan pengurusan acara,” menurut kenyataan itu lagi.
KMJ turut memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru bagi memastikan kejadian sama tidak berulang selain melindungi kebajikan dan hak petugas media.
Dalam perkembangan sama, Sekretariat Konvensyen Pakatan Harapan, memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kejadian berkenaan termasuk mendapatkan maklum balas daripada petugas keselamatan, urus setia program dan pihak berkaitan.
Sekretariat itu berkata langkah penambahbaikan juga akan diambil bagi memastikan pengurusan media dan kawalan keselamatan pada program akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, profesional dan harmoni.
